//Felda terap nilai survival tinggi – Othman Aziz

Felda terap nilai survival tinggi – Othman Aziz



PUTRAJAYA: Kehidupan di rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memberi pengajaran amat berharga kepada Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz iaitu nilai survival yang tinggi yang turut membentuk displin diri.

Anak kedua daripada tujuh beradik dan dilahirkan di Jerlun, Kedah pada 1959 itu berpindah ke Felda Lubok Merbau dalam daerah Padang Terap, Kedah apabila keluarganya terpilih menyertai rancangan Felda berkenaan pada 1970.

“Bila kita masuk Felda, kita hanya diberi RM69.60 satu keluarga untuk sebulan, dan dengan duit itulah ayah saya menguruskan kami sekeluarga.

“Menyedari kesusahan keluarga, saya buat kerja-kerja tambahan antaranya mengambil upah menarah lorong getah dengan upah RM6 sehari dan mengutip kacang penutup bumi dengan harga RM20 segantang,” katanya dalam wawancara khas Ekspresi Negaraku Felda sempena Hari Peneroka 2017 di Putrajaya pada Jumaat hingga Ahad ini.

Beliau mengimbas pengalaman hidupnya semasa berusia 13 tahun apabila upah beliau mengisi polibeg untuk tapak semaian Felda dinafikan, lantas menjadikannya lebih kental menghadapi dugaan.

“Saya mengisi 1,500 polibeg dan merasakan boleh mendapat upah sebanyak RM75 pada hujung bulan tetapi apabila tiba hari pembayaran nama saya tiada. Saya tunggu sehingga pukul 6 petang dan walaupun selepas bertengkar dengan pegawai dan mandur, saya tetap tidak dibayar,” katanya.

Othman yang dilantik ke jawatan kabinet tahun lepas berkata pengalaman berkenaan menguatkan tekad beliau untuk cemerlang sehingga berjaya memegang jawatan pengurusan ladang di syarikat-syarikat perladangan terkemuka antaranya Sime Darby Plantation, Harrison Malaysia Plantation dan Kumpulan Golden Hope.

Beliau berkata Felda yang diwujudkan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein telah menyediakan platform yang baik kepada keluarga peneroka untuk meningkatkan taraf hidup dan terpulang kepada setiap keluarga itu sendiri untuk mencorakkan masa depan mereka.

“Walaupun kerajaan telah memberi kemudahan rumah dan ladang, kalau peneroka itu tiada inisiatif tidak jadi juga,” katanya dan menambah kata bahawa masalah yang dihadapi oleh masyarakat ketika ini adalah kebergantungan yang tinggi terhadap kerajaan.

“Saya ada inspirasi yang kita mesti memisahkan diri kita sedaya mungkin daripada terlalu bergantung kepada kerajaan. Kerajaan bantu macam-macam tetapi inisiatif untuk berjaya itu mesti datang daripada keluarga itu sendiri,” katanya.

Mengubah sikap sedemikian menjadi satu cabaran kepada Felda dalam mentransformasikan masyarakatnya yang kini berjumlah 113,000 keluarga peneroka di lebih kurang 300 tanah rancangan di seluruh negara.

Othman berkata asas utama yang harus ada pada generasi baharu Felda adalah pendidikan tinggi yang akan menjadi pemangkin kepada kerjaya mahupun perniagaan mereka.

Beliau mengimbas satu lagi titik perubahan dalam hidupnya iaitu apabila diminta oleh arwah bapanya untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda walaupun ketika itu beliau sudah mempunyai pekerjaan tetap di Sime Darby Plantation dengan gaji RM2,200 yang boleh dianggap lumayan pada 1984.

“Demi memenuhi permintaan ayah, saya berhenti kerja dan sambung belajar dan selepas habis belajar pada 1987 saya bekerja dengan dengan Harrison Malaysian Plantation Berhad tetapi sebagai pelatih dengan gaji RM500 kerana kegawatan ekonomi,” katanya.

Namun, katanya usaha beliau menyambung pelajaran dilihat memberi impak positif kepada keluarganya apabila empat adik-beradiknya yang lain turut menjejakkan kaki ke menara gading dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Katanya antara adik-beradiknya, dua orang menjadi guru, seorang jurutera dan seorang peguam.

“Jika kebergantungan generasi pertama dan generasi kedua itu secara berterusan dengan Felda, kita tidak boleh keluar daripada kepompong kemiskinan, sebab itu kita disuruh belajar,” katanya.

Othman yang menyandang jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam pada 2004 turut diingati sebagai pengurus pasukan bola sepak Kedah yang memenangi tiga kejuaraan utama selama dua musim berturut-turut dan digelar “Double Treble” pada musim 2006-2007 dan 2007-2008.

Katanya kejayaan itu meletakkan beliau sebagai pengurus pasukan bola sepak paling berjaya dalam sejarah sukan negara.

“Sejak 1925 hingga sekarang, hanya saya seorang yang mencapai kejayaan itu, malah JDT (Johor Darul Ta’zim FC) pun tidak dapat mencapainya. Itu hanya satu daripada sumbangan kecil kepada negeri,” katanya.

Othman menegaskan kejayaan yang beliau kecapi hari ini adalah hasil daripada sumbangan Felda yang bukan sahaja membantu menambah baik taraf hidup keluarganya tetapi juga membentuk asas karakter dirinya.

“Tanpa Felda, saya tidak mungkin duduk sini. Saya amat terhutang budi dengan Felda yang mengajar saya menjadi seorang yang kuat berdisiplin dan ada naluri survival meskipun berdepan dengan kekangan.

“Anda harus menghasilkan yang terbaik dengan kekangan yang ada,” tegasnya mengakhiri wawancara.

— BERNAMA



Source link