//Khairul Hafiz pecahkan rekod kebangsaan 200m

Khairul Hafiz pecahkan rekod kebangsaan 200m



KUALA LUMPUR: Raja Pecut negara Khairul Hafiz Jantan sekali lagi membuktikan dirinya berada dalam tahap terbaik untuk menjadi pencabar utama acara pecut Sukan SEA ke-29 dengan memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Ke-94 malam ini.

Pelari berusia 18 tahun dari Melaka itu mencatatkan masa 20.90 saat pada pusingan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini untuk memecahkan rekod 20.92s milik Tan Sri Dr. M Jegathesan yang dicatatkan pada Oktober 1968 di Sukan Olimpik Mexico.

Ia juga mengatasi rekod kejohanan 20.94s milik Kento Terada dari Jepun yang dicatatkan pada edisi 1996 di Kangar.

Khairul sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan 100m milik Watson Nyambek (10.30s) selepas mencatatkan 10.18s di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, Julai lalu. Pingat perak menjadi milik Jonathan Nyepa dari Sarawak yang mencatatkan 21.29s manakala atlet Perak G. Aravinn Thevar membawa pulang gangsa dengan catatan 21.31s pada kejohanan itu, yang turut dikenali sebagai Kejohanan Pra-Sukan SEA. 

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Khairul berkata beliau seterusnya akan fokus untuk meraih pingat emas berganda Sukan SEA bagi acara riben biru di venue yang sama pada bulan depan.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan saya untuk memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi. Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa dan jurulatih Mohd Poad Md Kassim yang melatih saya.

“Kini saya lebih bersemangat untuk mencipta satu kejutan pada Sukan SEA pada Ogos ini,” katanya.

Terdahulu, Ratu Pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli yang mewakili Pulau Pinang meraih emas acara 200m selepas menamatkan larian dengan catatan 24.12s, diekori rapat oleh S. Komalam Shally dari Terengganu dengan catatan 24.27s.

Gangsa menjadi milik Siti Fatimah Mohamed dari Johor yang mencatatkan 24.58s.

Dalam acara 110m lari berpagar, atlet dari Filipina Clinton Kingsley Bautista muncul juara dengan catatan 14.16s, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Ang Chen Xiang (14.64s) dari Singapura dan Mohd Rizzua Hizad Muhammad (14,91s) dari Sarawak.

Bagi acara 100m lari berpagar pula, pelari kebangsaan Raja Nursheena Raja Azhar mewakili Terengganu meraih emas dengan catatan 14.44s, manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Nur Syafiqah Abu Bakar (14.95s) dari Johor dan Juriani Mat Rodzi (16.22s) dari Perak.

— BERNAMA



Source link