//Kolej Universiti Genovasi menumpu kepada disiplin pemikiran reka bentuk

Kolej Universiti Genovasi menumpu kepada disiplin pemikiran reka bentuk



PUTRAJAYA: Sebuah Kolej Universiti Genovasi (GUC) bakal ditubuhkan dalam usaha membangunakan generasi yang mengamalkan disiplin pemikiran reka bentuk dan mahir untuk mendepani Revolusi Industri Ke-empat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kolej berkenaan sudahpun diberi kelulusan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut Najib, usaha ini membantu Genovasi untuk meletakkan Malaysia sebagai hab dalam mempromosi pemikiran reka bentuk.

“Saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Genovasi telah menerima kelulusan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menubuhkan Koleh Universiti Genovasi yang menumpu kepada pendekatan pemikiran reka bentuk dan kursus yang tumpu kepada Revolusi Industri Keempat,” katanya dalam Majlis ‘Cultivating A Thinking Culture’ Showcase di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Rabu.

Jelasnya program ini juga selari dengan inisiatif Persatuan Pemikiran Reka Bentuk Malaysia (DTAM) yang mahu meluaskan Genovasi dan pemikiran reka bentuk di rantau ASEAN.

Dalam pada itu, Yayasan Genovasi mensasarkan satu juta pekerja di Malaysia akan memiliki pengalaman eksekutif dan pengurusan menerusi Program Eksekutif GUC walaupun tidak memiliki kelayakan tertiari.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Program Genosis yang bakal berfungsi sebagai badan akreditasi bebas yang memiliki jaminan kualiti dan praktis perinkat antarabangsa bagi sekolah-sekolah menengah kerajaan.

Program ini akan dimulakan di 10 sekolah menengah bermula tahun 2018 dan akan ditawarkan kepada sekolah menengah lain pada tahun 2021.



Source link