//Menteri Besar Selangor nafi tandatangan surat ‘kawalan jauh’

Menteri Besar Selangor nafi tandatangan surat ‘kawalan jauh’


KLANG 17 Okt. – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menafikan pernah menandatangani surat peletakan jawatannya yang tidak bertarikh sebagai ‘jaminan’ beliau akan menurut kehendak kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, surat yang didakwa penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dihantar oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli kepada Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi e-mel adalah tidak wujud.

“Surat itu tidak benar. Tidak wujud,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri jamuan makan bersama Jawatankuasa Masjid Kampung Raja Uda, di sini hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, Raja Petra menerusi entri dalam blog Malaysia Today mendedahkan e-mel Rafizi kepada Anwar mengenai cadangan-cadangan yang perlu diambil oleh PKR untuk menangani isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Salinan e-mel tersebut seperti mana disiarkan dalam blog berkenaan dikatakan turut dihantar kepada Ketua Ang­katan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam e-mel tersebut, Rafizi antara lain didakwa mencadangkan kepemimpinan PKR mengeluarkan satu surat letak jawatan tidak bertarikh supaya Mohamed Azmin selamanya diikat de­ngan parti dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sekiranya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Selain itu, Rafizi menerusi e-mel berkenaan didakwa turut mencadangkan kepada Anwar supaya PKR menuntut Mohamed Azmin bersetuju dengan syarat-syarat tertentu dan menandatanganinya sebelum sokongan majoriti parti diberikan kepada Timbalan Presiden PKR itu.

E-mel itu juga menyebut bahawa jika Mohamed Azmin melanggar mana-mana persetujuan yang ditetapkan, parti mempunyai hak untuk menukar dan meletakkan tarikh pada surat letak jawatan yang telah ditandatangani Mohamed Azmin.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin enggan mengulas dakwaan kononnya pelantikan Rafizi sebagai Setiausaha Agung PKR yang baharu adalah untuk mengawalnya dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.



Source link