//Mohd. Tamrin sah keluar Pas

Mohd. Tamrin sah keluar Pas

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka, Mohd. Tamrin Tun Ghafar (gambar) hari ini mengesahkan keluar daripada Pas yang disertai sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, surat penarikan diri yang bertarikh hari ini dan ditandatangani pada 9.10 pagi itu diserahkan kepada Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, di sini.

Berdasarkan surat itu, Mohd. Tamrin memaklumkan bahawa mulai tarikh surat itu, beliau menarik diri daripada menyertai Pas.

Surat ringkas itu antara lain meminta Pas mengemas kini rekod keahliannya.

Mohd. Tamrin ketika dihubungi enggan mengulas tindakannya itu namun bersetuju untuk memberikan kenyataan selepas menerima maklum balas daripada orang ramai.

Sebuah laman blog, shahbudindotcom.blogspot.com pada 7 Oktober lalu telah menyiarkan desas-desus penarikan diri Mohd. Tamrin dengan tajuk Tamrin Ghafar Keluar Pas?.

Melalui blog itu, Mohd. Tamrin dipercayai tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk pemimpin tertentu dalam Pas terutama berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Difahamkan, beliau dikatakan akan bergerak melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi bagi membantu perjuangan pakatan pembangkang.

Source link