//Penduduk lupakan hasrat minta tolong

Penduduk lupakan hasrat minta tolong

PULAU PINANG 16 Okt. – Penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi di sini yang dihalau dari perkampungan mereka boleh melupakan hasrat untuk mengharapkan pertolongan kerajaan DAP Pulau Pinang bagi membela nasib mereka.

Perkara itu memandangkan kerajaan negeri menegaskan, mereka tidak mempunyai locus standi untuk campur tangan dalam isu yang dihadapi penduduk berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, kes di kampung berkenaan juga tidak melibatkan pihak pemaju dan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak menerima sebarang permohonan merancang projek pembangunan di kawasan perkampungan itu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP negeri menambah, isu yang dihadapi penduduk berkenaan walaupun berlaku di negeri ini hanya melibatkan pemilik tanah dengan penduduk tersebut.

“Dalam erti kata lain, kes ini adalah kes mahkamah antara tuan tanah dan penduduk semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama dengan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Isnin lalu, kira-kira 200 penduduk daripada 48 buah keluarga di perkampungan itu mengadakan demonstrasi membantah tindakan pemaju yang menyerahkan notis supaya mengosongkan kediaman masing-masing bagi memberi laluan kepada projek pembangunan komersial.

Apa yang dikesalkan, mereka yang sudah menduduki perkampungan itu sejak lebih 50 tahun lalu `dihalau’ tanpa diberi sebarang pampasan atau rumah ganti.

Sehubungan itu, mereka mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang campur tangan dan membela nasib mereka termasuk mewartakan kampung berkenaan sebagai kampung warisan memandangkan kerajaan negeri mempunyai kuasa berbuat demikian.

Source link