//Perbincangan laksana hudud dalam fasa terakhir

Perbincangan laksana hudud dalam fasa terakhir

TUMPAT 16 Okt. – Perbincangan jawatankuasa teknikal khas mengenai pelaksanaan hukum hudud atau Kanun Jenayah Syariah II di Kelantan berjalan lancar dan kini dalam fasa terakhir sebelum rang undang-undang itu dibentangkan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kini tinggal dua lagi mesyuarat rasmi di peringkat Majlis Agama Islam Kelantan sebelum ia bawa ke sidang Dewan Rakyat.

“Kita kini dalam persiapan (laksanakan hudud) daripada satu tahap ke satu tahap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bank Islam Cawangan Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Semalam kerajaan Pas Kelantan bertegas tetap melaksanakan hukum hudud atau Kanun Jenayah Syariah II di negeri ini walaupun mendapat tentangan daripada orang bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, Pas sama sekali tidak akan tunduk dengan sebarang desakan sebaliknya yakin undang-undang Islam itu akan dilaksanakan tahun depan.

Malah tegasnya, orang bukan Islam tidak sepatutnya membantah hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud itu kerana tidak melibatkan mereka.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat turut berharap pelaksanaan hukum hudud akan mendapat sokongan semua pihak.

“Segala perancangan menunjukkan perkembangan positif dan saya harap semua akan memberi sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad ketika diminta mengulas mengenai penggantungan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selangor, Saari Sungip (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) berkata, tindakan yang dikenakan tersebut adalah tepat.

Tindakan tersebut katanya, akan memberi pengajaran kepada ahli Pas lain agar tidak mengikuti apa yang dilakukan oleh dua ADUN berkenaan.

“Kita dalam berjemaah berpolitik semestinya ada peraturan-peraturan dan juga adab berjemaah. Insya-Allah perkara ini tidak akan berulang,” tegasnya.

Source link