//Turki lanjut tempoh darurat tiga bulan lagi

Turki lanjut tempoh darurat tiga bulan lagi



ANKARA: Perdana Menteri Turki Binali Yildirim mengumumkan tempoh darurat di negara itu dilanjutkan selama tiga bulan lagi, berkuatkuasa pada Rabu, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA). 

Usul berkenaan menerima sokongan Parlimen menerusi undian oleh anggota parti pemerintah dan pembangkang. 

Sebelum ini, melalui ucapan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri dan pemimpin Parti Pergerakan Kebangsaan (MHP) Devlet Bahceli, memberikan bayangan awal darurat akan dilanjutkan. 

Sementara itu, dalam satu perhimpunan agung Timbalan Perdana Menteri Nurettin Canikli menyifatkan cubaan rampasan kuasa oleh Pertubuhan Pengganas Fetullah (FETO) sebagai satu projek “berskala global”.

Beliau berkata, projek itu dilihat bertujuan menghancurkan kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan Turki.

Mengulas mengenai tempoh lanjutan darurat, Canikli berkata, keadaan itu tidak menghalang hak dan kebebasan asas rakyat. 

“Sehingga kini, tiada sesiapa kebebasannya diperkecilkan, dihadkan atau dihalang akibat darurat,” katanya.

Turki menguatkuasakan darurat pada 20 Julai 2016 selepas FETO melancarkan cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun yang sama.

Sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh dan hampir 2,200 cedera dalam cubaan rampasan kuasa itu.

— BERNAMA



Source link