//ADUN Hulu Klang akan buat rayuan

ADUN Hulu Klang akan buat rayuan


SHAH ALAM 12 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungip yang digantung keahliannya daripada Pas selama setahun berkuat kuasa hari ini, akan membuat rayuan kepada parti selepas dimaklumkan secara rasmi berhubung hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Menurut Saari, setakat ini beliau belum menerima makluman rasmi tentang penggantungan keahliannya dan hanya akan membuat keputusan selepas menerimanya nanti.

Jelasnya, beliau perlu memahami terlebih dahulu tentang penggantungan keahliannya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya perlu faham keputusan penggantungan tersebut serta alasan saya digantung.

“Jika perkara itu benar, saya akan teliti ruang-ruang yang ada untuk membuat rayuan dan sebagainya,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia hari ini.

Saari dan seorang lagi wakil rakyat Pas iaitu ADUN Morib, Hasnul Baharudin digantung keahlian selama setahun bermula hari ini.

Mereka sebelum ini menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar pada Julai lalu.

Hasnul walau bagaimanapun gagal dihubungi dan SMS yang dihantar kepada beliau juga tidak dibalas sehingga pukul 6 petang.



Source link