//Anggota polis wanita Vietnam dipercayai mangsa permainan maut

Anggota polis wanita Vietnam dipercayai mangsa permainan maut



KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat penemuan mayat anggota polis Bukit Aman dengan wanita Vietnam, dipercayai kekasihnya, di sebuah rumah di Taman Cantik, Cheras dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes ini sebagai bunuh dan bunuh diri.

Menurutnya, mayat anggota berpangkat koperal berusia 26 tahun dan wanita warga Vietnam berkenaan ditemukan terbaring dalam sebuah bilik dengan kesan tembakan di kepala masing-masing.

“Semasa kita buat pemeriksaan, didapati pistol dipegang oleh wanita berkenaan dan kedudukan mereka menghadap antara satu sama lain.

“Kesan tembakan pada anggota polis berkenaan daripada kiri ke kanan, manakala pada wanita itu pula dari kanan ke kiri.

“Mereka kemungkinan sedang bermain sesuatu sebelum anggota berkenaan ditembak, dan seterusnya wanita itu pula membunuh diri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Amar Singh, pihaknya mengesyaki mereka berada di bawah pengaruh dadah susulan penemuan dadah jenis ketamine di lokasi kejadian.

Polis masih menyiasat status hubungan kedua-dua mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut.



Source link