//Nik Abduh ada alasan sendiri

Nik Abduh ada alasan sendiri


NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

KOTA BHARU 8 Okt. – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan pandangan yang disuarakan oleh anaknya, Nik Mohamad Abduh berhubung masalah dialami oleh parti itu termasuk menjadi mangsa buli kepada sekutu mereka, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pasti mempunyai alasan dalam setiap pandangan yang dilontarkan itu.

“Saya setuju, tidak ada apa, kalau manusia tidak pandang serong pada Islam, setuju. Saya nak Islam ini bukan untuk orang Melayu sahaja. Sebarkan Islam ini kepada orang tidak Islam.

“Yang pentingnya masalah Abduh tanya dia. Ada jawapan dia. Alhamdulillah dia antara anak saya daripada 10 orang mengikuti politik Islam,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Raya Aidiladha bersama sami-sami Buddha di kediamannya di Pulau Melaka di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pandangan yang disuarakan Nik Mohamad Abduh yang dilihat bertentangan dengan beberapa pe­mim­pin Pas serta sekutu mereka, PKR dan DAP.

Antara pandangan yang disuarakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu termasuk mengakui secara terbuka bahawa Pas menjadi mangsa buli sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Malah, Nik Mohamad Abduh juga mendakwa terdapat usaha daripada kedua-dua parti itu untuk membakar sentimen masyarakat dan penyokong mereka agar membenci Pas.

Selain itu, beliau secara keras mempertikaikan pengguguran wa­kil Pas dalam Exco kerajaan negeri Selangor yang dikurangkan kepada tiga berbanding empat serta penyingkiran Bendahari Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Yang terbaharu, Nik Mohamad Abduh turut mendakwa wujud gerakan konspirasi sekutu Yahudi menyelinap dalam parti itu bagi melemahkan pengaruh Pas dalam pakatan pembangkang.



Source link