//SOP Penggunaan Senjata Api dilancar

SOP Penggunaan Senjata Api dilancar



PUTRAJAYA: Pelancaran Garis Panduan Penggunaan Senjata Api (Semasa menjalankan tugas) 2017 menjadi penambahan kepada garis panduan senjata api yang sedia diguna pakai oleh agensi-agensi penguatkuasaan negara.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ia sekali gus salah satu cara Jabatan Peguam Negara menzahirkan rasa terima kasih kepada anggota penguatkuasaan yang sedia bertugas demi memastikan undang-undang negara dipatuhi sewajarnya.

“Garis panduan berkenaan diharap dapat membantu semua pihak dalam memastikan suatu pendekatan yang konsisten diambil dalam soal penggunaan senjata api oleh anggota-anggota penguatkuasa semasa menjalankan tugas murni mereka,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Suku Tahunan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Penyediaan garis panduan itu tercetus berikutan insiden yang telah menimpa seorang pegawai kastam wanita yang terbunuh akibat dirempuh oleh sebuah kenderaan semasa menjalankan tugas operasi di Kelantan pada tahun lalu.

Ia sekali gus menimbulkan satu pemerhatian Mohamed Apandi yang melihat kejadian itu berlaku kerana kurang pendedahan mengenai prosedur penggunaan senjata api di kalangan anggota penguatkuasa semasa menjalankan tugas.

“Lantaran itu, pada Disember tahun lalu, saya telah mengarahkan Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji semula tatacara penggunaan senjata api yang diguna pakai di semua agensi penguatkuasaan di negara ini.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama SPRM, APMM, PDRM, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, PERHILITAN, KPDNKK dan Jabatan Penjara Malaysia di atas kerjasama dan komitmen dalam penyediaan garis panduan ini,” jelasnya.

Pada majlis sama, Jabatan Peguam Negara turut melancarkan AGC ke Arah Pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2017.

Kata Mohamed Apandi, ia usaha Jabatan Peguam Negara dalam proses mendapatkan pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam daripada pihak MAMPU.

“Kerana itu, beberapa siri penerangan dan kursus EKSA ini telah diadakan sejak April lalu bagi memastikan semua warga AGC benar-benar faham dan komited akan usaha serta tindakan yang perlu diambil demi memastikan AGC mendapaf pensijilan tersebut.

“Fokus utama EKSA tertumpu ke arah penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai amalan baik dalam kalangan seluruh warga agensi sektor awam,” ujarnya.

Jelasnya, EKSA turut menerapkan beberapa elemen termasuk penampilan imej korporat, pembudayaan kreativiti dan inovasi, penerapan aspek amalan hijau di pejabat, penyediaan persekitaran kondusif dan mesra pelanggan serta kepelbagaian agensi.



Source link