//Stok vaksin anti-rabies di Sarawak mencukupi

Stok vaksin anti-rabies di Sarawak mencukupi



KUCHING: Stok vaksin anti-rabies di Sarawak adalah mencukupi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sememangnya sentiasa memastikan semua negeri menyimpan stok minimum vaksin rabies pada setiap masa sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya diperlukan.

“Di Sarawak, Hospital Umum Sarawak (HUS) menyimpan stok vaksin tersebut sebagai persediaan kemungkinan berlakunya jangkitan rabies. Untuk makluman, Sarawak merupakan negeri yang bebas rabies sehingga kes pertama disahkan pada 30 Jun 2017.

“Berdasarkan Garis Panduan Sementara Untuk Pencegahan dan Kawalan Rabies di Malaysia, kes gigitan anjing kategori 2 dan 3 perlulah diperiksa dan dibuat penilaian oleh pakar perubatan bagi menentukan sama ada kes gigitan anjing mempunyai indikasi untuk divaksinasi atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Noor Hisham itu dikeluarkan berikutan laporan beberapa akhbar yang mendakwa ketiadaan vaksin anti-rabies di Sarawak.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata sejak 1 April, terdapat 624 kes gigitan yang telah dikesan.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 401 kes mempunyai indikasi untuk diberi vaksinasi, di mana 395 (98.5 peratus) daripada mereka telahpun diberi suntikan vaksinasi manakala enam lagi kes akan datang untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam masa terdekat.

“Selain itu, terdapat 115 kes yang sememangnya tidak memenuhi kriteria indikasi untuk diberi vaksinasi, manakala baki 108 kes pula telah dikesan pada hari semalam dan sedang diselaraskan bagi pemeriksaan dan penilaian oleh pakar sebelum boleh diberi vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, jumlah vaksin yang diperoleh sejak 1 Julai sehingga 21 Julai adalah sebanyak 2,043 vial manakala sebanyak 4,517 vial akan diterima pada awal Ogos 2017 menjadikan jumlah keseluruhan adalah 6,560 vial.

“Bekalan stok sebanyak 6,560 ini adalah mencukupi untuk memberi rawatan kepada 1,640 kes gigitan anjing yang perlu divaksin (setiap kes adalah diberi empat kali suntikan vaksin). Berdasarkan anggaran kes gigitan anjing sekarang, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak masih mempunyai simpanan stok vaksin anti-rabies yang mencukupi.

“Sekiranya diperlukan vaksin tambahan dalam tempoh segera, vaksin boleh dimobilisasikan dari stok vaksin di negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata setakat hari ini tiada pertambahan kes baharu dilaporkan.

“Status terkini wabak rabies adalah lima kes di kalangan manusia yang disahkan positif rabies di Serian Sarawak di mana empat kes telah meninggal dunia dan satu kes sedang dirawat di wad Hospital Umum Sarawak (SGH).

“Kes ini diberi bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

–BERNAMA



Source link