//Tidak akan tunduk kepada DAP

Tidak akan tunduk kepada DAP


DARI KIRI: Iszuree Ibrahim, Lim Guan Eng

PULAU PINANG 8 Okt. – Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim yang digantung tugasnya oleh kerajaan DAP Pulau Pinang menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan diterimanya termasuk oleh Pas negeri yang mahu beliau memohon maaf kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Iszuree mengakui beliau diberi dua pilihan iaitu memohon maaf atau disingkirkan jawatannya dalam MPPP.

“Ya, perkara itu merupakan keputusan mesyuarat melibatkan pemimpin Pas negeri dengan DAP, namun saya kekal dengan pendirian untuk tidak memohon maaf kerana saya membangkitkan perkara yang betul,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tindakan ke atas Iszuree itu dilakukan selepas beliau mengkritik pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang ketika berucap dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Batu Pahat baru-baru ini.

Hari ini, mesyuarat Exco kerajaan negeri memutuskan tidak akan melaksanakan pemecatan Iszuree sehingga satu perbincangan dibuat bersama beberapa pihak lain termasuk Ahli Majlis MPPP walaupun beliau melanggar etika.

Begitupun, beliau digugurkan daripada menganggotai mana-mana jawatankuasa kecil MPPP manakala peruntukan akan disalurkan kepada seorang lagi Ahli Majlis dari Pas, Mhd. Nasir Yahya.

Keputusan itu sekali gus menjadikan Iszuree sebagai Ahli Majlis yang tidak berfungsi dan sekadar pada nama sahaja.

Dalam hal ini, beliau mengakui turut kecewa dengan sikap sesetengah pemimpin Pas negeri yang lebih cenderung memihak kepada DAP berbanding dirinya selaku ahli Pas.

“Ada pemimpin utama Pas negeri meminta saya memohon maaf kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng tetapi saya tidak akan berbuat demikian,” katanya.



Source link