//Enam sekeluarga direman bantu siasatan kes bayi ditemui mati dalam perigi

Enam sekeluarga direman bantu siasatan kes bayi ditemui mati dalam perigi



JASIN: Enam sekeluarga termasuk ibu dan bapa bayi malang yang ditemukan mati di dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin malam tadi direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Jasin.

Perintah tahanan reman sehingga 30 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Suzanna Mokhtar terhadap kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Kesemua suspek yang dibawa ke mahkamah sekitar 9 pagi tadi direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

BACA: Mayat bayi enam hari dipercayai dibunuh ditemui dalam perigi

Semalam, seorang bayi lelaki berusia enam hari ditemui mati di dalam perigi sedalam 6 meter di belakang kediamannya selepas disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri.

Mayat bayi yang masih berbalut kain lampin putih dan sempurna fizikal itu ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dari perigi berkenaan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Balai  Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, bayi itu pada awalnya dilaporkan hilang jam 7.45 malam Sabtu lalu oleh bapa mangsa yang hadir ke Balai Polis Batang Melaka.

Berdasarkan laporan yang dibuat, kali terakhir bayi berkenaan dilaporkan dilihat sedang tidur di dalam bilik bersama ibunya pada jam 6.30 petang Sabtu lalu.

Jelasnya, susulan laporan itu, siasatan lanjut dilakukan namun terdapat keraguan mengenai kesahihan kehilangan bayi itu.

Susulan penemuan mayat bayi tersebut, pihak polis kemudian menahan enam suspek termasuk ibu dan bapa bayi berkenaan serta empat lagi ahli keluarga mereka yang tinggal di kediaman sama bagi membantu siasatan.



Source link