//Lima anggota sindiket kad kredit palsu antarabangsa warga Malaysia dipenjara

Lima anggota sindiket kad kredit palsu antarabangsa warga Malaysia dipenjara



KUALA LUMPUR: Lima anggota sindiket kad kredit palsu transnasional dikenakan hukuman penjara bagi tempoh antara 17 bulan hingga 44 bulan kerana antara lain, memiliki kad dan dokumen pengenalan diri palsu, dan menipu,  lapor The Straits Times pada Isnin.

Menurut laporan itu empat rakyat Malaysia disabitkan kesalahan antara 9 Mac dan 19 Julai tahun ini kerana melakukan pembelian haram dengan menggunakan kad kredit palsu.

Seorang lagi anggota berumur 48 tahun, disabitkan kesalahan pada 19 Jan kerana memiliki kad kredit dan dokumen pengenalan diri palsu.

Menyebut kenyataan oleh Pasukan Polis Singapura, laporan itu menyatakan polis menerima maklumat pada 25 Julai tahun lepas bahawa pembelian itu telah dibuat dengan kad kredit palsu.

Mereka menangkap Chan Yew Choon, 23; Chong Li Hsien, 30; and Wong Ban Kuean, 47; di stesen MRT Orchard pada hari yang sama.

Sejumlah dokumen pengenalan diri, kad palsu dan barang-barang bernilai kira-kira S$23,000, belian menggunakan kad palsu, telah dirampas. (S$1=RM3.14),

Selepas siasatan, kata laporan itu, polis mengesan identiti dua rakan subahat mereka – Cheah Wei Yong, 44; dan Law Thin Poh, 48, dan menangkap mereka di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 19 Ogos tahun lepas.

Empat kredit kad palsu dan satu dokumen pengenalan tiruan didapati dalam milik Law.

Kesemua mereka menganggotai sindiket yang sama.

Mereka yang disabitkan kesalahan memiliki kad kredit palsu atau lain-lain dokumen keselamatan bernilai yang palsu boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun dan denda.

Mereka yang sabit kesalahan menipu boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda, kata laporan itu.

— BERNAMA



Source link