//FANTASI DAN REALITI

FANTASI DAN REALITI


Saya bercakap dengan seorang anak muda tentang negara, kerajaan dan pelbagai isu.
Seperti anak-anak muda lain, dia mengeluh tentang kehidupan hari ini, yang kononnya semakin rumit, ekonomi teruk, barang-barang semakin mahal, jenayah semakin tinggi kerana desakan hidup dan pelbagai lagi.
Sudah tentu kerajaan yang akan dipersalahkan. Kesimpulan mudah baginya, kerajaan mesti ditukar.
Menghadapi individu-individu sebegini biasanya saya tidak akan membangkang dakwaan mereka. Saya tidak akan berdebat dengan mereka menyatakan pendapat yang sebaliknya. Jika dia menyatakan Perdana Menteri mencuri wang negara, saya tidak akan membantah. Saya akan mengiakannya kerana masalah sebenar hari ini bukanlah tuduhan itu benar atau fitnah.
Ya, saya fikir membantah dakwaan mereka itu tidak akan membawa kepada penyelesaian. Mereka akan mempertahan persepsi yang mereka percayai. Jadi, apa kesudahannya?
Sekiranya saya mempertahankan kerajaan yang mereka tuduh menyeleweng itu, misalnya saya berhujah menyatakan Perdana Menteri tidak bersalah dalam isu 1MDB, mereka tidak akan mempercayainya sekalipun diberikan fakta-fakta yang sangat jelas.
Membantah mereka bukanlah cara mengubati penyakit yang sebenar. Ia tidak dapat menghapuskan penyakit. Apa yang perlu diubati adalah pemikiran mereka yang celaru dan keliru.
Jika pemikiran mereka betul, pemerintah benar atau tidak, bukan persoalan yang utama lagi.
Apakah pemikiran yang perlu diperbetulkan?
Kenapa ia terjadi begitu? Apabila kita membenci seseorang itu, kita hanya akan melihat dan mencari sisi-sisi keburukan orang itu, walaupun kita ditunjukkan kebaikan-kebaikan individu tersebut.
Di dalam minda mereka telah tertanam kebencian dan syak wasangka kepada pemerintah. Segala tindak kerajaan akan dilihat buruk dan negatif. Itulah yang ditanam dalam minda mereka setiap hari.
Maka, berdebat dengan mereka atas isu-isu negara yang timbul tidak akan mengubah pemikiran mereka. Kita mungkin boleh memberikan penerangan, tetapi bukan berdebat. Hal inilah yang banyak dilakukan oleh ramai orang, sedangkan ia tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar.
Majoriti anak muda hari ini pemikiran mereka tidak mendalam. Mereka mudah mengambil kesimpulan dan tindakan.
Misal kata mereka mempercayai pemimpin negara korup setelah dihasut pembangkang, maka mereka fikir pemimpin atau parti tersebut perlu dijatuhkan. Sesempit itulah pemikiran dan kesimpulan mereka tanpa melihat kepada masalah keseluruhan.
Apabila pemerintah menzalimi mereka, apa yang ada dalam fikiran mereka adalah menjatuhkan kerajaan tersebut. Mereka akan memetik ayat al-Quran dan hadith-hadith nabi perihal pemimpin zalim. Apa yang mereka petik adalah benar. Mereka yang tidak bersetuju dengan mereka akan dilabel melawan ayat-ayat suci. Itulah logik dan kesimpulan mereka.
Hakikatnya, tiada siapa pun yang sukakan penindasan dan kezaliman jika benar ia wujud. Ia adalah perkara yang patut dikutuk dan tidak diterima mana-mana agama pun.
Masalahnya, mengetahui pemimpin itu zalim adalah satu perkara, sebaliknya untuk menghadapi masalah kezaliman adalah suatu perkara lain.
Bukanlah menghadapi kezaliman itu dengan menentangnya secara membabi-buta. Mereka tidak faham, menjatuhkan kezaliman itu bukanlah dengan menumbangkan kerajaan semata-mata. Ia tidak akan menyelesaikan masalah. Banyak perkara yang perlu disoal dan dijawab. Benarkah kerajaan zalim, mengapakah mereka zalim, benarkah yang melawan kerajaan tidak zalim, bagaimanakah untuk melawan kezaliman…
Pihak berkuasa juga tidak akan menangkap seseorang penjenayah tanpa memikirkan kesan-kesan kepada orang awam walaupun mereka mempunyai bukti-bukti individu tersebut memang penjenayah dan berbahaya kepada masyarakat.
Apa akan jadi jika penjenayah itu diserbu ketika berada di khalayak ramai? Tentulah akan berbalas tembakan yang boleh mengakibatkan orang awam menjadi mangsa.
Apa yang berlaku hari ini seperti itu keadaan itulah.
Mereka bercakap seolah-olah ia perkara mudah, terjadi mengikut apa yang mereka fikir, sedangkan realitinya ia tidak semudah itu. Tetapi, bagaimanakah mahu mengatasi semua masalah ini?
Niat yang baik jika tidak dengan cara yang betul boleh mengakibatkan keadaan yang lebih buruk lagi.
Kerana yakinnya mereka kerajaan menindas mereka dan kezaliman itu perkara keji, mereka sudah buta pada perkara-perkara lain. Ketaksuban dan yakinnya mereka di pihak yang tertindas membuat mereka menghalalkan segala cara untuk menjatuhkan kerajaan.
Saya percaya, di negara-negara yang hari ini telah hancur seperti Iraq, Tunisia dan Libya, majoriti rakyat mereka bangkit memberontak bukanlah mahu menghancurkan negara mereka, tetapi tindakan mereka itu telah merosakkan lagi keadaan. Ya, tidak logik jika rakyat mahu merosakkan negara dan masa depan mereka sendiri.
Sebahagian mereka terpedaya dan terpengaruh dengan harapan palsu bahawa jika kerajaan digantikan, kehidupan mereka akan menjadi lebih baik.
Katakanlah pemerintah benar-benar menganiaya rakyat, menjatuhkannya bukanlah satu-satunya jalan yang ada.
Pemikiran yang ada dalam masyarakat hari ini sangat cetek. Apabila kerajaan zalim, maka mereka berfikir puak yang melawan kerajaan adalah di jalan benar. Keadaan ini seolah-olah hanya hitam dan putih, walhal kehidupan ini bukanlah semudah itu. Mereka tidak terfikir yang penentang kerajaan juga mungkin puak yang jahat, yang mengangguk di air keruh.
Adalah dangkal fikiran yang menyatakan, jika kerajaan zalim, maka penentangnya adalah penyelamat rakyat.
Boleh saja saya berhujah, jika pembangkang adalah penyelamat rakyat, mereka tidak akan bersekongkol dengan orang-orang bukan Islam seperti DAP. Tetapi, saya tidak akan berkata begitu kerana saya tahu pemikiran mereka sudah celaru. Mereka telah berjaya dipesongkan keutamaan mereka adalah menjatuhkan kerajaan kerana kerajaan zalim. Mereka tidak fikir lagi bahaya lain seperti dieksploitasi atau dipergunakan oleh orang-orang bukan Islam misalnya.
Apabila kita mengajak mereka berfikir akibat-akibat lain menjatuhkan kerajaan, mereka akan menjawab jika kerajaan baru tidak elok, ia boleh ditukar lagi.
Secara tersurat, ia memanglah begitu. Kerajaan yang zalim harus ditukarkan dan jika kerajaan baru juga bertindak seperti kerajaan lama, ia boleh ditukar lagi.
Realitinya, adakah ia boleh terjadi sebegitu mudah?
Contoh mudah untuk anda renungkan, anda boleh berkata dunia ini tidak seharusnya terjadi begini, tetapi adakah ia akan bertukar menjadi baik semudah seperti anda fikir, walaupun apa yang anda katakan itu adalah benar?
Jika kita fikir dunia ini tidak sepatutnya begini dengan memetik ayat-ayat suci, dan kita harus mengubahnya tanpa memikirkan bagaimana ia patut diubah, tanpa memikirkan akibat-akibat lainnya dan tanpa melihat masalah secara keseluruhan, ia adalah perkara yang merosakkan lagi apa yang telah rosak.
Untuk mengubah negara menjadi lebih baik adalah perlu, tetapi menganggap negara menjadi lebih baik setelah menukar kerajaannya hanyalah suatu angan-angan yang tidak logik.



Source link