//Isu STP I Gerakan failkan saman fitnah terhadap Lim Guan Eng

Isu STP I Gerakan failkan saman fitnah terhadap Lim Guan Eng



GEORGE TOWN: Parti Gerakan hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap parti itu berhubung penjualan tanah di Sri Tanjung Pinang I (STP I), tahun lalu.

Saman fitnah itu difailkan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng di Mahkamah Tinggi  Pulau Pinang kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Guan Eng dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap parti itu mengenai penjualan tanah STP I yang kemudian diterbitkan di beberapa media dan buletin DAP.

Plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah ke atas semua ganti rugi terbabit, membuat atau menerbitkan permohonan maaf di semua media, kos tindakan dan apa-apa relif tambahan bersesuaian.

Sementara itu, Teck Meng yang ditemui di luar perkarangan mahkamah bersama peguam Datuk Baljit Singh berkata, tindakan tersebut diambil berikutan Guan Eng kerap kali memfitnah parti berkenaan bersabit penjualan tanah tambak di Tanjung Tokong (Sri Tanjung Pinang) tersebut.

Katanya, Guan Eng sering menuduh Gerakan Pulau Pinang di bawah pimpinan Tan Sri Koh Tsu Koon kononnya menjual tanah penambakan itu kepada pemaju pada 1990-an dengan harga RM1 kaki persegi untuk keluasan 980 ekar bernilai RM42.7 juta.

“Sebenarnya Gerakan Pulau Pinang  sudah membuat penjelasan dan menjelaskan kepada rakyat bahawa tidak benar sama sekali Gerakan menjual tanah dengan harga RM1 kaki persegi tetapi beliau berulang kali mengulangi kenyataan sama dan ini satu fitnah kepada Gerakan. Maka hari ini kami mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau di mahkamah,” jelasnya.



Source link