//Cukai Pelancongan Ambil peluang melancong dalam negara – Uzaidi

Cukai Pelancongan Ambil peluang melancong dalam negara – Uzaidi



KUALA LUMPUR: Rakyat seharusnya mengambil peluang melancong ke destinasi menarik dalam negara selepas kerajaan memutuskan memansuhkan Cukai Pelancongan kepada warganegara Malaysia.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis berkata, ia sekali gus bukti keprihatinan kerajaan dalam mendengar pandangan sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan rakyat.

“Keputusan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk memansuhkan Cukai Pelancongan ke atas warganegara menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mendengar pandangan semua pihak terutama dari penggiat industri pelancongan.

“Saya harap dengan ada pemansuhan ini, lebih ramai rakyat mengambil peluang untuk bercuti dalam negara. Ini akan menolong memantapkan ekonomi tempatan,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

BACA: Kerajaan mansuh cukai pelancongan ke atas warganegara – Nazri

BACA: 

Cukai Pelancongan mekanisme promosi negara di mata dunia – Uzaidi

Uzaidi mengulas mengenai keputusan kerajaan memansuhkan Cukai Pelancongan ke atas rakyat Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Cukai itu juga hanya dikenakan kepada pelancong asing pada kadar purata RM10 bagi semua kelas hotel.

Uzaidi yang juga Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) menjelaskan, tujuan utama wujudnya cukai pelancongan itu untuk industri mempunyai satu dana promosi yang akan melastarikan industri pelancongan negara.

“Dengan adanya Cukai Pelancongan ini, kementerian boleh merancang aktiviti promosi dengan lebih agresif seluruh dunia untuk menambahkan kedatangan pelancong ke Malaysia,” ujarnya.

Mohamed Nazri pada Rabu menjelaskan, Kerajaan menyasarkan anggaran kira-kira RM211 juta setahun menerusi pelaksanaan Cukai Pelancongan.

Tambahnya, RM1 daripada RM10 yang dikutip akan dipulangkan kepada Kerajaan Negeri bagi menggalak dan melaksanakan promosi pelancongan.

Cukai Pelancongan akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam.

Jelasnya, pelaksanaan kutipan cukai akan mula dikenakan terhadap hotel dan rumah penginapan yang berdaftar.

Pada sidang Parlimen yang lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Mohamed Nazri, diluluskan dengan undian majoriti.



Source link