//Indonesia beri jaminan jerebu tidak berulang di Malaysia

Indonesia beri jaminan jerebu tidak berulang di Malaysia



PUTRAJAYA: Indonesia mengambil pendekatan rapi dan memberi jaminan bahawa masalah jerebu tidak akan berulang di Malaysia, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata walaupun cuaca kering mula melanda sejak kebelakangan ini, namun Malaysia yakin langkah proaktif yang diambil Indonesia mampu menangani masalah itu yang melanda Malaysia dan Singapura pada tahun 2015.

Katanya Indonesia mengambil tindakan secara besar-besaran dan rapi dalam menangani masalah itu tahun lalu termasuk mengerahkan tentera, polis dan pegawai tempatan serta menambah keperluan asetnya.

“Indonesia telah membeli tiga helikopter yang diubah suai sebagai pengangkut air sama seperti Bombadier kita.

“Malaysia percaya tindakan sistematik dan agresif yang dilakukan oleh Indonesia dalam menangani jerebu dapat mengelak masalah pencemaran itu daripada berlaku tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Isu-Isu Terkini Kesan Hutan dan Hasil Perhutanan Ke-18 di sini pada Rabu.

Pada 2015, Indonesia sering mengalami kebakaran hutan sehingga menyebabkan asap tebal merebak ke Malaysia.

Pada Selasa, Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan cuaca kering yang dijangka bertambah buruk di Aceh sekali gus menyebabkan wilayah itu mengalami jerebu.

Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia dilaporkan memberi jaminan bahawa negara jiran seperti Malaysia dan Singapura tidak mengalami jerebu kerana pihaknya telah mengambil langkah baharu untuk menghentikan kebakaran hutan.

Menurut Wan Junaidi, Indonesia telah mematuhi garis panduan seperti dikeluarkan oleh ASEAN menerusi Pelan Tindakan Bebas Jerebu menjelang 2020.

“Walaupun wujud kebimbangan jerebu akan melanda Malaysia kerana terdapat titik panas di Kalimantan, kita tetap berpegang dengan jaminan yang diberi oleh Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi meminta kerajaan negeri terbabit dalam inisiatif National Pengurusan Hutan Secara Landskap atau Central Forest Spine (CFS) untuk memberikan kerjasama dalam memilihara kawasan hutan dan habitat asal.

Menerusi pelan itu, sebanyak 37 koridor telah dikenal pasti meliputi lapan negeri antaranya Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu disambung jaringan ekologi bagi kawasan hutan terpisah, katanya.

“Kawasan tanah yang telah dikenal pasti terlibat dalam koridor CFS merupakan habitat asal dan laluan kawasan bagi hidupan liar,” katanya.

Mengenai perancangan Malaysia berikutan keputusan Britain melarang penjualan semua jenis kereta menggunakan petrol dan diesel mulai tahun 2040, Wan Junaidi berkata Malaysia mempunyai perancangan untuk menggunakan kenderaan elektrik secara berperingkat bermula pada tahun depan sehingga tahun 2025.

Beliau berkata ia adalah bagi mengatasi masalah pencemaran udara akibat pelepasan asap kenderaan yang menggunakan bahan api berasaskan petroleum dan diesel.

— BERNAMA



Source link