//SPAD PLUS giat kerjasama pastikan pengguna patuhi peraturan

SPAD PLUS giat kerjasama pastikan pengguna patuhi peraturan



JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menggiatkan kerjasama lebih erat dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam usaha memastikan pengguna mematuhi peraturan lebuh raya.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata pelaksanaan ini turut menumpukan pemantauan kenderaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik PLUS.

“Kerjasama ini adalah untuk memantau perilaku pengguna lebuh raya khususnya pemandu lori dan bas yang memandu secara berbahaya,” katanya kepada pemberita ketika mengetuai operasi bersepadu membabitkan 42 anggota SPAD, PLUS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Plaza Tol Skudai arah selatan, di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama dengan PLUS sudah lama bermula, namun pada tahun ini ia ditingkatkan secara lebih sistematik.

Mengenai operasi bersepadu bermula 2 petang itu, beliau berkata sebanyak 14 dan 22 kes masing-masing membabitkan SPAD dan PDRM berjaya dikesan dalam tempoh dua jam.

Katanya antara kesalahan kenderaan khususnya lori dan bas itu, adalah kegagalan menunjukkan dokumen tertentu, memandu melebihi had laju, membawa lebih muatan dan tayar tidak mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.

Sehubungan itu, Che Hasni meminta pengguna jalan raya supaya menjadi ‘mata dan telinga’ SPAD dengan menyalurkan sebarang kesalahan bagi mengekang kemalangan, sekali gus membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemandu yang melakukan kesalahan.

— BERNAMA



Source link