//FIC Reman dua pegawai kanan syarikat disambung empat hari

FIC Reman dua pegawai kanan syarikat disambung empat hari



PUTRAJAYA: Tahanan reman terhadap dua pegawai pengurusan kanan syarikat berasingan berhubung kes pembelian sebuah hotel empat bintang di Kingston, London oleh Felda Investment Corporation (FIC), disambung empat hari lagi.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melanjutkan tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki itu bermula esok hingga 31 Julai ini.

Lelaki berumur 36 dan 45 tahun yang merupakan ketua unit harta sebuah syarikat perkhidmatan pos dan pengarah sebuah syarikat perundingan aset itu sebelum ini direman selama enam hari bermula 22 Julai.

Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam penilaian harta dan harga bagi pembelian hotel berkenaan antara 2013 dan 2015.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 1 tengah hari pada 21 Julai lepas apabila hadir memberi keterangan mengenai pembelian hartanah itu.

— BERNAMA



Source link