//Gembira dalam duka Jemaah haji sebak terkenang anak OKU

Gembira dalam duka Jemaah haji sebak terkenang anak OKU



KELANA JAYA: Walaupun berat meninggalkan seorang anak kelainan upaya (OKU), seorang ibu masih bersyukur apabila mendapat giliran menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Kesusahan yang dilalui tidak melemahkan semangat saya untuk terus mengumpul wang sejak 10 tahun lalu bagi membolehkan saya ke Tanah Suci satu hari nanti.”

Demikian luahan Arbaiyah Darhan ibu tunggal berusia 70 tahun yang perlu menjaga anak perempuan yang menghidap penyakit Systematic Lupus Erythematosus (SLE).

“Perasaan saya memang sedih dan kasihan untuk tinggalkan dia. Dia tak boleh jalan, tetapi merangkak sahaja.”

Tambah Arbaiyah, anaknya itu walaupun kini sudah berkahwin dan mempunyai suami, namun dia tetap menzahirkan rasa berat hati memandangkan anaknya itu selama ini dijaga sepenuh perhatian dan tidak pernah tinggal berjauhan oleh kerana keadaannya.

Arbaiyah yang menetap di Felda Sungai Tengi di Hulu Selangor sejak 40 tahun lalu, telah membesarkan empat anak dengan membuat kerja-kerja ladang.

“Anak pertama saya pula sudah meninggal dunia tiga tahun lepas kerana angin ahmar.

“Dalam persediaan untuk menunaikan haji, saya teringat anak saya, dan saya menangis setiap hari kerana rindu,” katanya.

Sejak kehilangan suaminya 20 tahun lalu, Arbaiyah kini bekerja menjaga kedai ibu tunggal berdekatan rumahnya.

“Kita tabahkan hati, dan berserah kepada Yang Satu, kerana akhirnya kita akan kembali kepada-Nya,” katanya.

Arbaiyah yang sedang dalam perjalanan ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji tahun ini menasihatkan anak-anak yang lain supaya mula menabung awal untuk melaksanakan haji.

Beliau juga berharap dan berdoa supaya perjalanan ini adalah yang terbaik dan selamat untuk dirinya dan keluarga.



Source link