//Kemelut kewangan tidak jejas prestasi The Red Giants

Kemelut kewangan tidak jejas prestasi The Red Giants



SHAH ALAM: Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal positif skuad The Red Giants mampu menduduki tiga tangga teratas apabila saingan Liga Super menutup tirai musim 2016/2017 biarpun badan induk sukan bola sepak negeri mengalami kemelut kewangan.

Beliau berkata berdasarkan prestasi semasa, rentak cemerlang skuad Selangor tidak terjejas walaupun kerajaan negeri masih belum memberi maklum balas ke atas permohonan dana RM5 juta kepada pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) sehingga hujung musim ini.

“Setakat ini saya belum terima jawapan, walaupun exco sukan kata tidak tahu (mengenai permohonan) kita sudah hantar sekali lagi. Tapi saya rasa jawapannya tetap ‘tidak’.

“Kalau hendak swasta sepenuhnya pun, bagilah masa sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun. Ini tidak, dari RM23 juta, langsung kosong (tanpa peruntukan).

“Mungkin tanggapan mereka kita akan hancur dan tersungkur tapi kita masih lagi berdiri teguh dan Selangor kini di tangga keempat liga. Kita mungkin berada di tiga teratas. Ini bukti pengurusan yang disukai pemain,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Subahan turut menegaskan bahawa pelantikan beliau telah dipersetujui oleh 95 anggota gabungan yang yakin dengan kepimpinan dan latar belakang bola sepak yang dimilikinya untuk memimpin FAS supaya tidak tenggelam dalam saingan Liga-M.

“Bila saya memimpin FAS, saya tahu apa saya perlu buat,” katanya.

Pada Isnin lepas, presiden FAS sekali lagi memohon kepada kerajaan negeri Selangor untuk memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada persatuan bagi pembangunan bola sepak di negeri itu.

Katanya peruntukkan itu bagi melengkapkan bajet RM15 juta yang perlu dilaburkan untuk pasukan bola sepak musim ini.

Sementara itu Subahan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada kini sedang giat melakukan pemantauan dan pemilihan pemain bagi persediaan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong pada 5 Sept depan.

Katanya sebagai persiapan, skuad kebangsaan akan melalui tiga aksi persahabatan menentang Syria pada 22 Ogos di Stadium Hang Jebat, Melaka sebelum berdepan pasukan Macau di tempat lawan pada 25 Ogos dan ke Yangon untuk menentang Myanmar pada 29 Ogos.

“Vingada dalam proses pilih pemain, mungkin ada yang baharu untuk diserap masuk. Sekarang ini beliau selalu berjalan untuk pantau pemain dalam saingan Liga-M dan beliau akan maklumkan sendiri pemain yang dipilih kemudiannya.

“Aksi persahabatan dengan Syria dan kelayakan Piala Asia lawan Hong Kong akan diadakan di Melaka sebab kita hendak bagi peluang penyokong di negeri lain juga menyaksikan perlawanan antarabangsa,” katanya.

— BERNAMA



Source link