//Lelaki mengaku tak bersalah curi 15 helai pakaian dalam wanita

Lelaki mengaku tak bersalah curi 15 helai pakaian dalam wanita



KUALA TERENGGANU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan mencuri 15 helai pakaian dalam milik dua wanita.

Tertuduh, Shum Kok Fai, 28 tahun  mengangguk faham ketika dua pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, Kok Fai didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam wanita milik mangsa berusia 19 tahun di belakang rumah sewa Taman Desa Putra, Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu jam 12 tengah hari pada 24 Julai lalu.

Kok Fai turut berdepan satu lagi pertuduhan sama apabila mencuri sehelai pakaian dalam milik seorang mangsa berusia 18 tahun di alamat, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Dalam kejadian pada Isnin, seorang lelaki yang ditahan bersama sebuah beg di sebuah rumah di taman perumahan di Manir, Kuala Terengganu membawa kepada penemuan pelbagai jenis pakaian dan seluar dalam wanita.



Source link