//Asyraf Wajdi jawab isu penamaan anak luar nikah

Asyraf Wajdi jawab isu penamaan anak luar nikah



BERIKUT kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung polemik penamaan anak luar nikah yang diedarkan kepada media hari ini:

Merujuk kepada polemik terbaru yang tercetus hasil keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan anak luar nikah pasangan beragama Islam untuk tidak lagi menggunakan bin atau binti ‘Abdullah’, sebaliknya boleh menggunakan nama bapa masing-masing sebagai nama keluarga.

Beberapa perkara asas yang harus difahami sebelum kita terlajak membahaskan isu ini hanya sekadar berlandaskan sentimen dan emosi semata-mata:

1. Hukum Islam dalam hal penamaan anak luar nikah ini adalah jelas sebagaimana Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidak Sah Taraf Dari Segi Syarak yang diputuskan dan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998.

2. Menurut Garis Panduan Penamaan ini, anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asma Al-Husna berpangkalkan Abdul. Ini kerana Syarak dan Maqasid Syariah amat mementingkan pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergaulan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.

3. Khalayak umum melihat keputusan Mahkamah Rayuan hanya berasaskan dari satu sudut perundangan dan perspektif Hukum Sivil semata-mata tanpa mengambil kira roh dan prinsip Syariah dan Maqasid Syariah.

4. Pada masa yang sama, kita juga harus memahami dan mengakui keterbatasan ikatan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI di peringkat Kebangsaan yang sememangnya tiada kuasa ikatan perundangan kerana kuasa agama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan merupakan kuasa negeri-negeri.

5. Namun fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Negeri setelah diperkenan Tuanku Sultan dan diwartakan, masih perlu diambilkira apabila pertikaian adalah berkaitan dengan hukum Syarak berdasarkan undang-undang yang diluluskan di bawah bidangkuasa Negeri menurut Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

6. Lebih mustahak lagi apabila melibatkan kepentingan orang Islam, sudah tentu mahkamah mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada hukum hakam Syarak.

7. Kedudukan undang-undang peribadi pihak-pihak yang berkhilaf juga perlu diambil perhatian oleh Mahkamah Sivil. Agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara perlu bertindak sebagai agensi yg melaksana semua undang-undang yang sah termasuk yang berhubung kait dengan hukum Syarak.

8. Fatwa yang dikeluarkan samaada oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI di peringkat Persekutuan mahupun Fatwa yang diwartakan di peringkat negeri-negeri adalah undang-undang Islam yang sah dan sewajarnya menjadi rujukan dan panduan dalam membuat penghukuman yang melibatkan kepentingan Islam secara keseluruhannya.

Ini juga bagi menjunjung semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3.

9. Justeru, amat wajar sekali pihak Peguam Negara mewakili Kerajaan Persekutuan dan agensi dibawahnya khususnya Jabatan Peguam Negara untuk mengangkat kes ini bagi dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

10. Perbahasan secara holistik harus dilakukan bagi mempertimbangkan kes ini tanpa sekali-kali membelakangi hukum dan prinsip Islam yang menjadi teras negara selama ini sebagaimana yang terpateri kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan.

— BERNAMA



Source link