//Pindaan akta saksikan perkhidmatan teksi Uber Grabcar dipertingkat

Pindaan akta saksikan perkhidmatan teksi Uber Grabcar dipertingkat



KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) yang diluluskan oleh Parlimen semalam bakal menyaksikan kualiti perkhidmatan teksi dan e-hailing seperti Uber dan Grabcar di seluruh negara ditingkatkan dan bakal melalui transformasi, kata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Dalam satu kenyataan hari ini, SPAD berkata pindaan itu akan memastikan pengendali dan pemandu perkhidmatan tersebut mengguna pakai standard keselamatan dan perkhidmatan tertinggi termasuk pemeriksaan latar belakang mandatori.

“Suruhanjaya juga berkuasa memperkenalkan dan menguatkuasakan peraturan seperti mewajibkan pengendali perkhidmatan e-hailing menyerahkan maklumat berkaitan perjalanan dan kenderaan yang digunakan kepada SPAD bagi perancangan pengangkutan awam darat,” katanya.

Menurut SPAD selain memastikan tambang e-hailing ditentukan kuasa pasaran, pindaan itu juga mampu meningkatkan pendapatan pemandu melalui penggunaan harga tambang dinamik apabila menggunakan aplikasi e-hailing atau kadar tambang teksi bermeter semasa mengambil penumpang di bahu jalan.

Perubahan itu adalah wajar dan akan berupaya memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, dan pada masa sama menyediakan medan persaingan adil bagi industri teksi melalui penggunaan teknologi terkini yang lebih responsif kepada kuasa pasaran, kata agensi tersebut.

“SPAD akan menggariskan butiran yang lebih lanjut mengenai pindaan APAD ini serta impak perundangan terhadap industri teksi dan perkhidmatan e-hailing dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.

Perkara itu menjadi realiti selepas Parlimen semalam meluluskan beberapa rang undang-undang (RUU) bagi mengesahkan perkhidmatan e-hailing di negara ini.

Ia membabitkan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang dibentangkan secara berasingan oleh Nancy tanpa pindaan menerusi undian lisan.

— BERNAMA



Source link