//Siasatan FIC SPRM serbu enam syarikat termasuk firma audit antarabangsa

Siasatan FIC SPRM serbu enam syarikat termasuk firma audit antarabangsa


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu enam pejabat yang mempunyai hubung kait dengan pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Selain pejabat FIC di Balai FELDA, Jalan Gurney di sini, Jabatan Siasatan SPRM Putrajaya turut menyerbu firma perkhidmatan audit dan perakaunan, Deloitte Malaysia di Taman Tun Dr Ismail dan firma guaman, Mohamed Ridza & Co di Damansara.

Serbuan serentak kira-kira pukul 10 pagi itu juga melibatkan pejabat Henry Butcher Malaysia (Sarawak), Raine & Horne International Zaki Partners Sdn. Bhd dan Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd di Kuching, Sarawak.

Seramai 12 pegawai dari Jabatan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, tiba di Balai FELDA, Jalan Gurney, di sini, bagi menjalankan siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC). - Foto ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR

Sumber SPRM yang mengesahkan perkara tersebut berkata, serbuan dilakukan bagi meneliti dokumen berkaitan pembelian hotel bertaraf empat bintang di Kuching yang dipercayai dibeli FIC dengan nilai melebihi harga pasaran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lengkap berhubung serbuan berkenaan.

Siasatan itu adalah yang kedua dilakukan agensi penguatkuasaan itu selepas pembelian sebuah hotel di Kingston, London di antara tahun 2013 dan 2015 turut disiasat, baru-baru ini.

Hasil maklumat awal menunjukkan pembelian hotel berkenaan telah mengakibatkan FIC kerugian ratusan jutaan ringgit.



Source link