//Peralatan judi dalam talian bernilai RM345500 dirampas

Peralatan judi dalam talian bernilai RM345500 dirampas



KUALA LUMPUR: Sebanyak 239 peralatan judi dalam talian termasuk mesin simulator dan cip komputer bernilai RM345,500 dirampas dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram Siri ke-37 (Op BAH 37) di dua premis tidak berdaftar di sini malam tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata serbuan di satu daripada premis itu turut menemukan not wang kertas RM1 yang dilekatkan di bahagian cip komputer berkenaan, dipercayai bertindak sebagai nombor siri cip itu.

“Kami percaya taktik terbaru daripada sindiket mesin judi dalam talian ini dilakukan oleh rakyat tempatan dan satu kajian menyeluruh sedang dilakukan bagi mengenal pasti fungsi sebenar not (wang kertas) ini.

“Kesemua mesin yang dirampas akan dilupuskan sementara kedua-dua premis ini juga akan disita serta-merta,” katanya kepada pemberita semasa operasi itu.

Adnan berkata menerusi bancian yang dibuat oleh kementeriannya sepanjang tahun lepas, terdapat 615 premis haram terdiri daripada premis judi dan premis yang berselindung di sebalik perniagaan pusat hiburan keluarga beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.

“Proses menyediakan kertas kepada pihak Jemaah Menteri sedang dijalankan bagi menambah baik dan meminda semula akta sedia ada dengan menumpukan enam aspek aktiviti haram iaitu judi dalam talian, pusat hiburan, pusat urut, penyalahgunaan dadah, penyalahgunaan permit oleh pelajar dan kesalahan syariah.

“Pindaan akta seperti Akta Rumah Judi Terbuka juga dilihat sudah tidak lagi relevan memandangkan hukuman RM2,000 denda sahaja dikenakan kepada pemilik premis yang didapati bersalah. Kerajaan amat komited dalam memerangi kegiatan aktiviti haram dan sentiasa konsisten menjalankan operasi seperti ini,” katanya.

Beliau turut menyelar tindakan pemilik premis kelab malam yang tidak mematuhi peraturan waktu operasi yang ditetapkan dengan beroperasi hingga pukul 5 pagi dan sering memberikan alasan seperti ‘pelancong asing mahu berhibur’ walaupun realiti sebenar 99 peratus daripada pengunjung adalah orang tempatan.

Tambahnya, semua premis kelab malam di ibu negara hanya dibenarkan beroperasi sehingga 3 pagi manakala premis kelab malam di Bukit Bintang sahaja dibenarkan beroperasi sehingga 5 pagi.

Sementara itu, sebuah kelab malam di Jalan P. Ramlee turut diserbu manakala empat pengunjung beragama Islam termasuk dua perempuan ditahan atas kesalahan minum minuman memabukkan.

Operasi dijalankan secara bersepadu itu melibatkan lebih 200 anggota daripada 21 agensi serta 13 pertubuhan bukan kerajaan termasuk penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

— BERNAMA



Source link