//Tiga ditahan SPRM berhubung pembelian hotel di Kuching

Tiga ditahan SPRM berhubung pembelian hotel di Kuching



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap tiga individu bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014.

Menurut sumber, dua daripada mereka merupakan pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruskan pembelian hotel tersebut.

Kedua-duanya yang masing-masing berusia 47 dan 51 tahun itu ditangkap di pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9 pagi Sabtu ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes tersebut.

Kedua-dua mereka direman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos bagi membantu siasatan.

Manakala seorang lagi yang ditahan di pejabat SPRM Kuching pada jam 1.30 tengah hari merupakan pengarah syarikat berusia 57 tahun yang memiliki hotel tersebut dan dijangka akan direman pagi esok di Mahkamah Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati pengarah syarikat terbabit telah melantik syarikat ejen tersebut untuk menguruskan pembelian hotel itu,” kata sumber berkenaan.

Semalam, SPRM menyerbu enam pejabat yang mempunyai hubung kait dengan pembelian sebuah hotel berkenaan bagi meneliti dokumen berkaitan pembelian hotel bertaraf empat bintang yang dipercayai dibeli dengan nilai melebihi harga pasaran.

Hasil maklumat awal menunjukkan pembelian hotel berkenaan telah mengakibatkan FIC kerugian ratusan jutaan ringgit.

Siasatan itu adalah yang kedua dilakukan agensi penguatkuasaan itu selepas pembelian sebuah hotel di Kingston, London antara tahun 2013 dan 2015 turut disiasat, baru-baru ini.



Source link