//Tiga mangsa cabul liwat jalani sesi kaunseling

Tiga mangsa cabul liwat jalani sesi kaunseling



IPOH: Tiga orang pelajar yang dikenal pasti sebagai mangsa kes cabul dan liwat di sebuah sekolah di sini, akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling sebagai usaha mengatasi trauma yang dihadapi mereka.

Susulan dari kes itu juga, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria, pihaknya dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sedang menyiasat untuk mengenal pasti sama ada terdapat pelajar lain terlibat.

“Untuk tindakan lanjut, saya telahpun berbincang dengan JPN untuk mengenal pasti pelajar tersebut dan kita buat secara tertutup bagi menjaga maruah pelajar ini, selain membantu mereka balik kepada kehidupan normal ekoran trauma yang dialami.

“Kadangkala remaja sama ada lelaki atau perempuan takut ataupun berhadapan dengan ugutan dari suspek, itu sebabnya barangkali dia akan ambil masa beberapa hari untuk melaporkan kepada pihak berkuasa atau tidak,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari Harimau Sedunia 2017 di Bulatan Amanjaya, Meru Raya pada Sabtu.

Muhammad Amin berkata demikian ketika mengulas isu jurulatih fisioterapi pasukan bola sepak berusia 54 tahun yang dipercayai mencabul dan meliwat tiga pelajar sebuah sekolah baru-baru ini.

Siasatan awal mendapati kejadian tersebut telah berulang-ulang berlaku antara Mei 2016 dan Mac 2017 di rumah suspek dan bilik hotel.

Namun begitu, suspek kes tersebut ditemui mati dipercayai menggantung diri di dalam sebuah bilik hotel di sini pada petang Selasa.

Ekoran dari itu, Muhammad Amin menasihatkan agar pihak guru atau mangsa yang terbabit dalam kes sedemikian untuk tampil melaporkan kejadian jenayah itu kepada pihak berkuasa secepat mungkin.

“Jangan simpan kejadian jenayah seperti ini terlalu lama, mangsa wajar laporkan perkara ini kepada guru-guru atau pengetua supaya tindakan lanjut dapat diambil. Jika dilengahkan mungkin lebih ramai akan menjadi mangsa,” ujarnya..



Source link