//SPRM akan sita 10 juta tan bauksit di Pahang

SPRM akan sita 10 juta tan bauksit di Pahang



PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyita keseluruhan simpanan stok bauksit di Pahang berjumlah lebih 10 juta tan metrik bagi membantu siasatan terhadap isu perlombongan bauksit haram.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata penyitaan itu dibuat bagi menghalang bahan tersebut daripada dibawa keluar dari tempat penyimpanannya untuk tujuan perniagaan atau sebarang tujuan lain.

“Tindakan penyitaan bauksit berkenaan meliputi seluruh simpanan stok yang berada di tanah-tanah kerajaan dan persendirian di kawasan yang telah dikenal pasti di negeri itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penyitaan itu dilakukan mengikut Seksyen 33 Akta SPRM 2009 dan mana-mana pihak yang melanggar notis arahan penyitaan tersebut melakukan kesalahan di bawah akta tersebut dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69 akta sama.

Sehingga kini, katanya, dianggarkan terdapat lebih 10 juta tan metrik bauksit yang telah pun dilombong serta disimpan di beberapa lokasi di Pahang.

Azam berkata, penyitaan ini perlu dilakukan bagi membantu SPRM menjalankan siasatan terhadap isu perlombongan haram bauksit ini.

Tambahnya lagi, SPRM juga akan memantau sebarang eksport bauksit di Pelabuhan Kuantan. 

Dalam pada itu, SPRM juga katanya, telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mencadangkan pihak kementerian terbabit agar mengkaji semula pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada penguasaha lombong bauksit serta membatalkan kesemua AP yang telah dikeluarkan sebelum ini.



Source link