//Pemberita hampa perenang Singapura Joseph Schooling tidak muncul

Pemberita hampa perenang Singapura Joseph Schooling tidak muncul



SEPANG: Pemberita hampa apabila juara Olimpik Singapura Joseph Schooling tidak muncul tatkala pasukan renang negara pulau itu tiba di sini hari ini untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Kumpulan pemberita berkenaan yang menunggu perenang itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sejak 10 pagi, diberitahu oleh seorang wakil Singapura bahawa atlet berumur 22 tahun itu tidak ada bersama-sama rakan sepasukannya.

Pemenang pingat emas Olimpik itu telah dikritik susulan kenyataannya “mengajar mereka satu dua perkara” yang dikatakan telah disalah tafsir.

Schooling menamatkan penguasaan perenang legenda Amerika Michael Phelps dalam acara 100m kupu-kupu lelaki pada Olimpik Rio tahun lepas.

Acara renang temasya dwitahunan itu dijadualkan dari 21 hingga 26 Ogos di Pusat Akuatik Negara di Bandar Sukan KL, Bukit Jalil.

Edisi ke-29 Sukan SEA akan berlangsung secara rasmi dari 19 hingga 30 Ogos yang mempertandingkan 404 acara membabitkan 38 jenis sukan.

Sementara itu, anggota pasukan polo air dan memanah Singapura juga telah mendarat di KLIA hari ini.

Pengurus pasukan akuatik Singapura Edwin Ker berkata pasukan lelaki yakin mampu mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Singapura dua tahun lepas manakala skuad wanita pula bertekad untuk menebus kekecewaan kalah kepada Thailand di gelanggang sendiri.

“Sasaran kami pingat emas. Semoga pasukan terbaik akan menang,” katanya kepada pemberita di KLIA.

Bagi pasukan memanah, ketuanya Wong Liang Peng berkata mereka menyasarkan untuk mengutip sebanyak pingat emas yang mungkin dalam setiap kategori.

“Kami telah menjalani latihan sejak awal tahun ini, enam kali seminggu. Mereka turut dihantar ke Korea Selatan untuk membuat persiapan akhir,” katanya.

Acara polo air akan berlangsung dari 15 hingga 20 Ogos manakala memanah dari 16 hingga 22 Ogos, kedua-duanya di Bandar Sukan KL.

— BERNAMA



Source link