//BAM komited perkasa arena sukan badminton para negara

BAM komited perkasa arena sukan badminton para negara



KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus kekal komited dalam memperkasakan sukan para negara bagi mencapai matlamat menjadi salah satu sukan penyumbang kilauan pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata meskipun tumpuan lebih terarah kepada sukan yang dipertandingkan di Olimpik, namun usaha memperkasakan arena sukan badminton para sudah menjadi antara fokus utamanya sejak menduduki kerusi nombor satu badan induk itu.

Katanya, satu jawatankuasa yang diketuai oleh pengurus pasukan badminton para negara, Dr Naharruddin Hashim telah ditubuhkan bagi merangka satu pelan tindakan sehingga 2020 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan Kuala Lumpur 2017 (KL2017) merupakan sebahagian daripada agenda dalam pelan tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persediaan skuad badminton para negara di Axiata Arena, Bukit Jalil yang merupakan venue bagi acara badminton Sukan Para ASEAN 2017 di sini, hari ini.

Norza seterusnya mengakui sebahagian atlet badminton para negara sudah mempunyai kualiti sebagai jaguh dunia, namun beberapa aspek masih perlu diberi penekanan untuk memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran negara di Paralimpik Tokyo 2020 itu nanti.

“Kita ada pemain yang berkualiti yang telah pun memenangi banyak kejohanan peringkat dunia, cuma kita nak gilap dan tentukan untuk mereka mendapat kemudahan fasiliti yang baik terutama dari segi sains sukan dan perkara ini akan kita titik beratkan dalam menentukan mereka bersiap sedia ke arah 2020,” katanya.

Dalam pada itu, Norza berharap skuad negara mampu menepati sasaran meraih empat pingat emas dalam 13 acara yang dipertandingkan pada KL2017, sekali gus mengatasi jumlah dua emas yang diraih pada edisi 2015 di Singapura.

— BERNAMA



Source link