//Jangan spekulasi punca kebakaran pusat tahfiz – KP JBPM

Jangan spekulasi punca kebakaran pusat tahfiz – KP JBPM



KUALA LUMPUR: Siasatan menyeluruh akan dibuat untuk mengenal pasti punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung pada pagi Khamis.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, buat masa ini masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan punca kebakaran yang mengorbankan 21 orang pelajar dan dua tenaga pengajar itu.

“Banyak proses sebenarnya untuk kita tentukan punca ini. Misalnya, ada bahan kimia kita temui perlu dihantar ke makmal untuk disiasat, dikaji.

“Biasanya, bagi keadaan kebakaran mudah, bomba memerlukan dua atau tiga hari namun jika rumit mungkin sehingga dua atau minggu untuk dikaji kesemuanya.

“Begitu juga kita kena jumpa penghuni-penghuni asrama yang selamat, keterangan mereka amat penting. Bagaimana kebakaran bermula, situasi semasa mereka sedar atau orang sekitar yang nampak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: PM rakam rasa sedih, takziah kepada keluarga mangsa kebakaran tahfiz

BACA: 

Kebakaran pusat tahfiz disifatkan paling dahsyat – Media antarabangsa

Wan Mohd Nor berkata demikian ketika diminta mengulas misteri penemuan dua tong gas kuning di koridor luar pintu bilik asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Difahamkan, beberapa pelajar tahfiz yang terselamat turut melihat tong gas kuning tersebut yang sebelum ini tidak pernah diletakkan di tingkat tiga bangunan itu.

Dalam pada itu tegasnya, semua siasatan perlu mengambil masa dan sebarang spekulasi tidak membantu dari segi siasatan.

“Spekulasi sebabkan ada pihak membuat andaian tidak betul dan menyukarkan kita untuk menemuramah, mungkin ia boleh ubah kenyataan dan sebagainya.

“Kita minta elakkan (spekulasi) supaya kita dapat buat kajian terperinci. Dan apabila kita dapat semua ini, kita dapat keluarkan satu jawapan konkrit mengenai punca kejadian ini,” jelasnya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, siasatan pihaknya mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas sebaliknya disebabkan beberapa unsur lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini meminta semua pusat tahfiz di negara ini mematuhi piawaian keselamatan yang ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi memastikan kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran tidak berulang.

Tegasnya, ciri-ciri keselamatan sebagaimana yang ditentukan oleh PBT dan JBPM wajib diikuti.



Source link