//Kanak-kanak hilang ditemui mati lemas

Kanak-kanak hilang ditemui mati lemas



ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang hilang lewat petang semalam, ditemui lemas di Pantai Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru Masjid Tanah, di sini jam 9.55 malam tadi.

Difahamkan, mangsa Muhammad Amirul Abdul Rahman, keluar bermain bersama dua lagi rakan sebelum mandi seorang diri di pantai berkenaan.

Bapa mangsa keluar mencari mangsa berikutan anaknya tidak pulang ke rumah selepas Maghrib, sebelum menemui selipar dan basikal milik Muhammad Amirul di pantai berkenaan.

Ekoran itu, dia melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Abdullah Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 malam.

Pihaknya yang dibantu unit skuba dari Balai Bomba Penyelamat Jalan Kubu melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisir pantai berhampiran lokasi selipar dan basikal mangsa ditemui.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui pada jarak 10 meter dari tempat dia dipercayai mandi oleh orang awam yang turut membantu operasi SAR.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.



Source link