//Kebajikan golongan OKU dijamin kerajaan pusat dan negeri

Kebajikan golongan OKU dijamin kerajaan pusat dan negeri



LAHAD DATU: Kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) di Sabah terjamin menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan disediakan kerajaan pusat dan negeri, kata Ketua Puteri UMNO Silam Zuraidah Asdain.

Beliau berkata bantuan untuk golongan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, perniagaan dan kesihatan.

Bagi pelajar OKU pula, bantuan disalurkan termasuk elaun RM150 setiap bulan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah manakala bantuan khas untuk yang melanjutkan pelajaran ke universiti, katanya pada program Puteri UMNO bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak melabel kanak-kanak OKU sebagai seorang yang tidak mampu berjaya kerana setiap individu yang dilahirkan OKU memiliki bakat dan kelebihan diri masing-masing.

“Kanak-kanak daripada PDK di sini baru-baru ini menjuarai Pertandingan Talentine peringkat negeri Sabah dan pada 2010 turut pernah memenangi Talentine peringkat kebangsaan.

“Ini bukti kanak-kanak OKU juga mampu meraih kejayaan yang sama seperti kanak-kanak normal,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Zuraidah menyampaikan sumbangan RM1,000 untuk tabung sentuhan tari PDK Lahad Datu dan RM1,000 untuk penyediaan baju korporat PDK itu.- BERNAMA



Source link