//Kebakaran pusat tahfiz Polis siasat unsur jenayah – TPM

Kebakaran pusat tahfiz Polis siasat unsur jenayah – TPM



KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara awal pagi semalam turut menjurus kepada unsur jenayah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemungkinan unsur jenayah itu turut dibincangkan oleh beliau bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

“Kita tidak harus membuat spekulasi sehingga siasatan diperolehi secara konklusif, sebab sebarang kemungkinan akan dikemukakan kepada jawatankuasa yang saya sebutkan tadi.

“Saya akan maklumkan kepada umum jika ada unsur-unsur jenayah dan unsur-unsur di luar daripada kesalahan atau kesilapan teknikal, termasuk gangguan pintasan elektrik di premis berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada satu sidang media selepas menghadiri Dialog TN50 Kluster Keselamatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.

Beliau juga kesal apabila syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kejadian kebakaran Pondok Pak Ya di Kedah yang lalu tidak digunapakai oleh kebanyakan pusat tahfiz dan sekolah agama rakyat di negara ini.

“Saya dimaklumkan, cadangan dan syor itu tidak dilaksanakan dan tidak digunapakai.

“Saya harap, (ia dipatuhi) demi keselamatan pelajar-pelajar maahad tahfiz ini,” tambahnya.



Source link