//Keputusan DNA dikeluarkan kurang daripada 24 jam – Asyraf Wajdi

Keputusan DNA dikeluarkan kurang daripada 24 jam – Asyraf Wajdi



KUALA LUMPUR: Keputusan ujian Asid Deosiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti 23 identiti mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Keramat berjaya diperoleh kurang daripada 24 jam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan segera itu adalah hasil kerjasama antara agensi membabitkan Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan agensi lain terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Katanya keputusan DNA 23 jenazah itu berjaya dilengkapkan Unit Forensik HKL pada jam 11.30 pagi ini bagi membolehkan jenazah pertama dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) pada jam 3.40 petang ke Surau Kuarters HKL untuk dikapan dan solat jenazah.

“Ini kali pertama dalam sejarah, keputusan DNA berjaya diselesaikan kurang daripada 24 jam.

“Berkat kerjasama erat ini, proses penyelenggaran jenazah dapat diuruskan dengan cepat dan Allah mempermudahkan urusan kita mengenal pasti semua jenazah,” katanya selepas selesai mengimamkan solat jenazah lima jenazah terakhir di Surau Kuarters HKL di sini petang tadi.

Menurut Asyraf Wajdi, jenazah terakhir dibawa keluar dari IPFN pada pukul 6 petang dan semua jenazah disembahyangkan di Surau Kuarters HKL sebelum dibawa ke 10 kawasan persemadian yang berlainan mengikut kehendak waris.

Beliau berkata kesemua 23 jenazah selesai diuruskan di Surau Kuarters HKL, dengan konvoi terakhir keluar dari surau itu pada pukul 7.18 malam.

Menurutnya pemilihan tanah perkuburan dibuat berdasarkan permintaan keluarga mangsa dan pihak berkuasa hanya membantu mengurus dan menyempurnakan urusan itu dengan segera.

— BERNAMA



Source link