//Mukhriz gagal faham konsep ekonomi mudah – AzwanBro

Mukhriz gagal faham konsep ekonomi mudah – AzwanBro



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir disifatkan gagal untuk memahami konsep ekonomi yang mudah semasa mempertikai lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memilih untuk menutup kebenaran dan hanya mempolitikkan lawatan itu semata-mata.

“Ketika umum memandang lawatan rasmi PM ke AS sebagai suatu pencapaian ekonomi dan strategi yang membanggakan, perkara ini tidak sama sekali bagi Mukhriz Mahathir yang membuat dakwaan murahan bahawa Malaysia mengalami kerugian dalam perjanjian pelaburan yang telah dimeterai.

“Realitinya, Malaysia mempunyai lebihan dagangan berbanding AS. Pelaburan AS di Malaysia lebih tinggi berbanding pelaburan Malaysia di sana.

“Malangnya Mukhriz gagal untuk memahami konsep ekonomi yang mudah seperti ini. Lebih menjijikkan apabila Mukhriz memilih untuk menutup kebenaran dan mempolitikkan lawatan ini,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas catatan Twitter Mukhriz yang mempertikaikan lawatan Datuk Seri Najib dengan Presiden Donald Trump yang berlangsung di White House.

Tegasnya, sikap Mukhriz yang penuh dengan hasad dengki adalah bertentangan dengan amalam demokrasi yang berasaskan fakta dan kebenaran.

BACA: Pelaburan KWSP di AS tingkat pulangan dividen – PM Najib

BACA: Malaysia, AS bergandingan lenyapkan kumpulan pengganas – PM

“Hal ini membuktikan tahap pemikiran Mukhriz yang tidak matang dan telah memakan dirinya sendiri,” jelasnya.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib memberitahu komuniti perniagaan AS bahawa terdapat kempen untuk sengaja mensabotaj 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan melemahkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada percubaan yang gagal untuk menggulingkan kerajaan sementara menunggu kitaran pilihan raya.





Source link