//Pelaburan KWSP di AS tingkat pulangan dividen – PM Najib

Pelaburan KWSP di AS tingkat pulangan dividen – PM Najib



KUALA LUMPUR: Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat (AS) merupakan langkah meningkatkan kadar pulangan dividen untuk para pencarum sendiri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia usaha KWSP menambah peluang untuk agensi itu membuat pelaburan di AS serta Eropah yang sebenarnya sudah beberapa tahun dilakukan.

Selain itu jelasnya, pembelian pesawat Boeing merupakan perancangan yang telah lebih awal dibuat Malaysia Airlines (MAS).

“Namun pembangkang mempertikai tujuan KWSP melabur di AS. Hakikatnya, KWSP memang sentiasa mencari peluang pelaburan bagi mendapatkan pulangan untuk membayar dividen kepada para pencarum.

“Sebenarnya KWSP sudah beberapa tahun melabur di pasaran saham AS dan Eropah bagi meningkatkan kadar pulangan dividen untuk para pencarum, dan pertemuan tempoh hari usaha untuk menambah peluang baru untuk KWSP melabur

“Rundingan pembelian jet Boeing itu pula telah dilakukan kerana MAS memang sudah ada rancangan untuk membeli kapal terbang baru sebelum pertemuan di White House tempoh hari berlangsung,” katanya dalam satu siaran radio di sini hari ini.

BACA: Presiden Trump, PM Najib berbincang di White House

BACA: PM jumpa Trump menguntungkan ekonomi Malaysia jangka panjang

KWSP dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di AS.

Jelas Najib, Malaysia mengamalkan dasar luar negara yang terbuka terhadap semua negara yang mahu membina hubungan diplomatik dan perdagangan dengannya

“Untuk tahun ini sahaja, Malaysia telah berunding dengan beberapa ketua negara termasuk AS dan negara China membincangkan isu-isu tertentu

“Malaysia mendapat banyak manfaat apabila berjaya merunding pelaburan lebih RM100 bilion dengan China manakala baru-baru ini saya bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai isu perdagangan dan keselamatan serantau.

“Malaysia selama ini banyak mengaut keuntungan daripada pelaburan dan perdagangan dengan AS bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit, jadi adalah wajar untuk kita teruskan pelaburan dalam sumber yang boleh mendapatkan pulangan,” ujarnya.

Katanya lagi, hubungan luar negara telah membuka banyak peluang pelaburan dan perdagangan untuk memangkinkan ekonomi Malaysia.

“Hubungan baik Malaysia dengan negara-negara besar timur dan barat meletakkan Malaysia di sebuah kedudukan politik yang seimbang di persada antarabangsa

“Sedarlah, pembangkang dari awal lagi tidak senang duduk melihat Malaysia berjaya menjalin hubungan mesra dengan negara-negara lain, kerana jelas segala tohmahan palsu mereka selama ini tidak perlu diendahkan,” jelasnya.



Source link