//Hari Malaysia hari penyatuan negara bangsa – Salleh

Hari Malaysia hari penyatuan negara bangsa – Salleh



KUALA LUMPUR: Hari Malaysia yang dirai pada tanggal 16 Sept setiap tahun juga disambut sebagai hari penyatuan negara bangsa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata ini kerana pada tarikh itu semua kaum dan etnik di Malaysia bersatu menyambutnya sebagai hari penubuhan sebuah negara.

“Sebagai rakyat, tentunya kita bangga dengan apa yang telah negara kita capai. Tarikh inilah Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia.

“Setelah Singapura berpisah daripada Persekutuan pada 9 Ogos 1965, negara kita pesat membangun dan politik kita semakin stabil,” katanya melalui catatan di laman blog rasmi beliau, hari ini.

Salleh berkata faktor utama pencapaian di Malaysia kerana negara mempunyai pemimpin hebat, politik persekutuan yang sihat dan hubungan rakyat yang rapat walaupun dipisahkan oleh Laut Cina Selatan dan etnik yang pelbagai.

Beliau berkata sebagai contoh dalam bidang politik, negara berupaya mengekalkan kestabilan dan keselamatan politik serta kedaulatannya.

“Kita juga bukan lagi pemain politik lokal atau serantau. Politik kita telah melangkah ke dunia global.

“Baru sahaja pemimpin kita pulang dari Amerika dan London kerana bertemu (Presiden Donald) Trump dan (Perdana Menteri Britain) Theresa May untuk membincangkan soal pembangunan ekonomi dan keselamatan dunia,” katanya.

Sehubungan itu Salleh menyeru semua rakyat supaya merapatkan lagi barisan sebagai sebuah negara bangsa dan menjadi negara yang lebih cemerlang di masa depan.

“Hari ini, kita sudah menjadi bangsa Malaysia yang hebat kerana sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia. Tahniah Malaysia,” kata Salleh.

— BERNAMA



Source link