//Hari Malaysia Lebih 3500 rakyat sertai Solidariti WeMalaysia 2017

Hari Malaysia Lebih 3500 rakyat sertai Solidariti WeMalaysia 2017



KUALA LUMPUR: Lebih 3,500 rakyat Malaysia di 87 buah bandar utama dunia telah menyertai program Solidariti WeMalaysia 2017 sempena sambutan Hari Malaysia 2017 yang diraikan hari ini, 16 September.

Pengerusi International WeMalaysia Movement (WeMalaysia) Mohd Ali Halim Sirat berkata, pencapaian tahun ini amat membanggakan berbanding program pada 2016 dengan penyertaan dari 63 buah bandar sahaja.

“WeMalaysia telah melancarkan program Solidariti WeMalaysia 2017 di mana ribuan rakyat berbilang kaum telah berkongsi gambar-gambar mereka di laman media sosial bagi menunjukkan semangat patriotisme dan rasa cinta mereka kepada negara tercinta.

“Program yang dilancarkan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 ini telah menerima penyertaan yang amat menggalakkan sejak mula diumumkan.

“WeMalaysia juga telah menyokong beberapa program berskala besar yang telah memberikan manfaat kepada pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara dalam usaha mereka menghayati erti sebenar kemerdekaan dan patriotisme,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, program-program tersebut dianjurkan bersama-sama badan-badan gabungan persatuan pelajar Malaysia utama di Australia, UK, AS dan Indonesia.

“Dari Belfast, Ireland sehinggalah ke Melbourne, Australia dan dari Puncak Sejati Mt Raung di Indonesia sehingga ke Tsaritsyno Park di Moscow, rakyat Malaysia berbilang kaum menunjukkan bahawa biar jauh di perantauan, semangat cintakan Malaysia tetap tersemat kukuh di jiwa dan amat menebal sekali.

“Penyertaan yang amat menggalakkan daripada peserta menunjukkan pelajar dan diaspora Malaysia di luar negara kekal bersolidariti demi Malaysia yang aman dan makmur.

Katanya lagi, himpunan gambar-gambar tersebut boleh didapati di laman Facebook https://www.facebook.com/WeMalaysiaOrg/

Video khas yang menghimpunkan kesemua gambar-gambar Solidariti WeMalaysia 2017 – Sumber YouTube WeMalaysia

Ujarnya, WeMalaysia juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Solidariti WeMalaysia 2017 pada tahun ini.

Sementara itu, Konsul Pendidikan, Education Malaysia Australia (Perth), En. Hadi Mustaffa berkata, Program Western Australia Merdeka Month 2017 (#WAMM2017) diadakan untuk menyatukan rakyat dan pelajar Malaysia di sana.

“Malaysian Student’s Council of Australia (MASCA) Western Australia, dengan kerjasama semua Persatuan Pelajar Malaysia di Australia Barat dan sokongan padu Education Malaysia Australia (Perth) dan WeMalaysia telah berjaya menyatukan rakyat dan pelajar Malaysia di Australia Barat dalam Program Western Australia Merdeka Month 2017 (#WAMM2017).

“Program WAMM 2017 adalah merupakan program kemerdekaan terbesar yang julung kali dianjurkan di kalangan pelajar Malaysia di Australia Barat . Ia bermula pada 1 sehingga 17 September 2017 yang melibatkan beberapa pengisian utama yang diatur bagi tujuan menaikkan semangat patriotisme dan melahirkan rasa sayang dan cintakan Negara.

“WAMM 2017 ini menjadi wadah untuk menghimpunkan pelajar Malaysia di Australia Barat untuk mengambil bahagian dalam semua pengisian yang diatur. Selain itu, program ini secara tidak langsung telah dapat mengembangkan keupayaan intelek dan potensi pelajar Malaysia di luar negara,” katanya.

Majlis Perasmian WAMM 2017 disempurnakan Konsul-Jeneral Malaysia, Nazarudin Jaafar.

Dalam ucapan perasmian, Nazarudin menekankan peranan rakyat Malaysia dan pelajar Malaysia agar terus menaikkan nama dan imej Malaysia melalui aktiviti yang bersesuaian ke arah pemupukan semangat perpaduan dan kekitaan yang menjadi tunjang kekuatan negara.

BACA: Perpaduan kaum di Malaysia jadi aspirasi masyarakat luar negara – WeMalaysia Australia

BACA: Pelajar ejen promosi budaya Malaysia di luar negara – Fiona Kee

Dalam pada itu kata Hadi, pelajar Malaysia yang menuntut di Australia Barat perlu terus  mengamalkan sikap saling bantu membantu dan bekerjasama tidak mengira bangsa dan agama dalam menjayakan setiap program yang bakal dilaksanakan.

“Perkara ini jelas dapat dilihat dengan keberhasilan Program WAMM 2017 yang mendapat kerjasama semua pelajar dan ia secara tidak langsung melatih para pelajar menjadi modal insan yang cemerlang.

“Perkara ini sangat bertepatan dengan hasrat TN50 yang memberi penekanan kepada belia sebagai peneraju negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Kordinator WeMalaysia di Australia Barat Amirul Edmett turut berkongsi kegembiraan berpeluang menjayakan WAMM 2017 dan memaklumkan WeMalaysia akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada semua program yang boleh memberi manfaat terutama kepada pelajar dan rakyat Malaysia di Australia Barat.

Sementara Pengarah Projek WAMM 2017, Razmel Razali menjelaskan, salah satu objektif program pada tahun ini adalah untuk menggalakkan kesepaduan terutama di kalangan para pelajar Malaysia tanpa mengira bangsa.

Antara pegisian WAMM 2017 adalah Jom Lepak iaitu tayangan filem Pendekar Bujang Lapok,  Karnival Sukan yang dikenali sebagai WAlympic yang mempertaruhkan sukan badminton, bola keranjang, bola jaring dan futsal.

Selain itu, Kampung Fest yang menampilkan sukan-sukan tradisional akan diadakan pada 16 September 2017 bersempena Hari Malaysia dan pengisian yang terakhir adalah ASEAN SEAmposium 2017 yang bakal membicangkan topik Komuniti ASEAN dengan barisan panelis dari kalangan pelajar-pelajar ASEAN.

Bagi program WALympic dan ASEAN SEAmposium, penyertaan juga terbuka kepada para pelajar dari negara ASEAN.

Ini adalah merupakan sebahagian usaha mereka bagi pemupukan komuniti ASEAN di Australia Barat.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).



Source link