//Jangan cela sekolah tahfiz kerajaan pusat perlu lebih main peranan – Mohd Amar

Jangan cela sekolah tahfiz kerajaan pusat perlu lebih main peranan – Mohd Amar



KOTA BHARU: Susulan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur pada Khamis, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah hari ini menyeru masyarakat supaya tidak mencela pondok pengajian agama dan pusat tahfiz Al Quran.

Sebaliknya, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, kerajaan pusat sepatutnya telah lama membantu menaik taraf pusat tahfiz dan sekolah pondok sedia ada.
 
Katanya, ini bukan masanya untuk menuding jari menyalahkan sesiapa mengenai kejadian yang mengorbankan 23 nyawa pelajar dan guru tahfiz itu.

Tambahnya, umum sedar bahawa kebanyakan pusat tahfiz dan sekolah pondok bergerak secara sendirian dengan yuran bulanan dan sumbangan orang ramai, tanpa bantuan kerajaan.

“Semua pihak perlu sedar, tenaga pengajar di pondok dan pusat tahfiz adakala mendapat gaji hanya RM300-400 sebulan, kerana pengusaha pusat tak mampu bayar lebih.

“Tetapi, demi agama, mereka sanggup bekerja untuk memberi ilmu kepada pelajar,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Malaysia peringkat Kelantan di sini pagi tadi.

Oleh kerana itu, tambahnya: “Jangan cela pondok agama dan pusat tahfiz, jangan nak salahkan sesiapa apabila berlaku ketentuan seumpama itu.”

Mohd Amar berkata, kerajaan pusat sepatutnya telah lama membantu menaik taraf pusat tahfiz dan pusat pengajian pondok yang ada serta melakukan pemantauan, sekaligus membantu mereka.

Dalam keadaan serba kekurangan, katanya, ada di kalangan pusat tahfiz yang infrastruktur bangunan kediamannya daif, tidak selamat dan sebagainya.

Ini kerana, pihak pengurusan pusat tersebut tidak mampu untuk menaiktaraf bangunan dan kemudahan di situ akibat sumber kewangan yang terhad.

Katanya, kejadian kebakaran melibatkan pondok dan pusat tahfiz bukan perkara baru, bahkan sering mendapat liputan pihak media.

Menurutnya, Kelantan merupakan negeri yang mempunyai paling banyak pondok pengajian agama dan pusat tahfiz.

Kerajaan negeri katanya, menetapkan syarat supaya pengusaha pondok berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Semua pihak perlu memberikan perhatian dan bukannya tindakan untuk menutup premis pondok dan pusat tahfiz sekiranya berlaku kejadian kebakaran dan sebagainya.

“Ini kerana, mereka bergerak dengan sumbangan orang ramai, yuran dan kewangan yang amat terhad, dalam usaha meningkatkan pengajian Islam dan melahirkan ramai anak muda tahfiz,” katanya.

Katanya, pengajaran yang paling besar dalam kes yang berlaku melibatkan sekolah-sekolah tahfiz ialah, sekiranya kerajaan memberi perhatian dengan menubuhkan institusi tahfiznya sendiri, sudah pasti pusat tahfiz persendirian tidak tumbuh seperti cendawan.

“Ini kerana, ibu bapa akan memilih pusat tahfiz kerajaan untuk menghantar anak-anak mereka dengan jaminan keselamatan dan sebagainya, berbanding pusat tahfiz persendirian yang kadangkala jumlah pelajarnya melebihi had yang ditetapkan,” tambahnya.



Source link