//Jenazah warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selamat dikebumi

Jenazah warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selamat dikebumi



TUMPAT: Jenazah warden yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tujoh, Pengkalan Kubor kira-kira 2.40 pagi ini.

Jenazah Muhammad Amrul Nizam Sakarno, 25, yang meninggal dunia dalam kebakaran di pusat tahfiz pagi kelmarin itu, tiba di rumah keluarganya kira-kira pada 2 pagi.

Kira-kira 1,000 penduduk kampung dan kawasan sekitar turut menunggu ketibaan jenazah yang bertolak dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) lewat petang semalam selepas menjalani bedah siasat serta padanan DNA sebelum dimandi menggunakan kaedah tayamum, dikafan dan disolat di hospital tersebut bersama 22 jenazah yang lain.

Sejurus tiba, solat jenazah yang diimamkan bilal Masjid Kampung Tujoh, Ramli Senik turut diadakan di kediaman keluarganya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di kampung tersebut.

Turut kelihatan isteri Allahyarham, Noor Fatihah Osman, 23, anggota keluarga serta sanak-saudara mangsa.

Allahyarham baru sahaja melangsungkan majlis persandingan dengan Noor Fatihah minggu lepas selepas berkahwin pada September tahun lalu.

Upacara pengebumian Allahyarham yang mendapat bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Sementara itu, bapa mangsa, Sakarno Talib, 56, berkata beliau reda walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu serta turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu menguruskan jenazah anaknya sejak daripada hari pertama kejadian sehingga selesai majlis pengebumian.

Noor Fatihah bagaimanapun enggan ditemu bual wartawan kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya itu.

Jenazah Allahyarham merupakan yang terakhir dikebumikan dalam tragedi kebakaran tersebut.

Semalam, 22 jenazah selamat dikebumikan. Sebelas jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

Empat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, manakala empat lagi jenazah, masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuari, Cheras; Taman Putra Perdana, Puchong; Taman Medan, Jalan Klang Lama dan Paroi Jaya, Negeri Sembilan.

— BERNAMA



Source link