//Tiada lagi penyanyi muda yang ingin berkarya dengan muzik jazz – Atilia

Tiada lagi penyanyi muda yang ingin berkarya dengan muzik jazz – Atilia



PENYANYI Atilia mengakui risau apabila penyanyi muda masa kini enggan untuk berkarya dengan muzik jazz dalam bahasa Melayu.

Menurut Atilia, pelapis baharu zaman sekarang lebih cenderung ke arah jenis muzik moden yang lebih progresif.

“Apa yang saya lihat pada industri muzik sekarang adalah penerimaan terhadap irama muzik jazz di Malaysia semakin berkurangan.

“Ini kerana penyanyi muda semakin cenderung untuk menyanyikan lagu yang lebih moden mengikut peredaran zaman sehingga irama jazz dipinggirkan.

“Sejak kebelakangan ini, saya lihat tiada lagi wajah-wajah baharu yang ingin menyanyikan lagu-lagu jazz dalam bahasa Melayu.

“Saya berharap agar dengan usaha yang dilakukan oleh saya dalam menerbitkan album terbaharu ini dapat memberi inspirasi buat penyanyi muda untuk mengembalikan kegemilangan irama jazz tempatan pada masa depan.

“Meskipun muzik seperti ini kurang menonjol namun saya yakin masih ada lagi kelompok peminat yang meminati muzik jazz,” katanya kepada Astro Gempak.

Atilia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album, Atilia No 3, di Alexis, Great Eastern Mall, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi



Source link