//Lelaki parah ditembak sekumpulan lelaki di Lipis

Lelaki parah ditembak sekumpulan lelaki di Lipis



LIPIS: Seorang lelaki berusia 55 tahun cedera parah ditembak tujuh das tembakan yang dilepaskan oleh lima suspek lelaki dalam kejadian di Jalan Besar Kuala Medang-Sg Koyan, di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Raub, namun setelah tiba di tempat kejadian beliau diserang kumpulan lelaki tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob, mangsa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux secara berseorangan dan diserang kumpulan suspek yang menaiki kereta jenis Proton Wira.

Katanya, mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh kumpulan lelaki berkenaan di bahagian badan.
 
“Motif kejadian masih lagi disiasat dan polis akan merakamkan keterangan mangsa sebaik saja keadaan mengizinkan.
 
“Kita turut meminta saksi kejadian tampil bagi membantu kami melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
 
Beliau memberitahu, bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk mendapatkan kesan cap jari pada kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian.
 
Sementara itu, difahamkan, mangsa dibawa ke Klinik Sungai Koyan oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lipis bagi mendapatkan rawatan lanjut.
 
Azry berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.



Source link