//Pahang bawa bekalan selesa menewaskan Perak 3-1

Pahang bawa bekalan selesa menewaskan Perak 3-1



KUANTAN: Pahang membawa bekalan selesa ke gelanggang lawan selepas menundukkan Perak 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Pemain Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria berjaya meletakkan Pahang di hadapan pada minit ke-35 selepas menyempurnakan hantaran Matthew Thomas Davies di hadapan gawang lawan.

Hanya berselang dua minit kemudian, skuad Tok Gajah menghasilkan jaringan kedua melalui sentuhan penyudah Mohd Afif Amiruddin selepas berlaku perebutan di dalam kotak penalti.

Sebelum separuh masa pertama berakhir Perak dihukum lagi dengan jaringan ketiga tuan rumah pada minit ke-40 oleh Matthew Thomas Davies yang menyambar bola muntah dari penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bagi mendahului 3-0.

Separuh masa kedua, skuad Perak kendalian Mehmed Durakovic cuba bangkit dengan merapatkan jurang pemisah pada minit ke-68 hasil ledakan pemain import Gilmar Jose Da Silva Filho susulan percubaan pertama yang melantun terkena tiang gol tuan rumah dan menjadikan kedudukan 3-1.

Kedua-dua pasukan kemudian cuba menggandakan asakan dengan saling berbalas serangan namun sehingga wisel penamat kedudukan kekal 3 -1.

Pahang akan bertandang ke kubu lawan Sabtu depan bagi perlawanan suku akhir kedua.

— BERNAMA



Source link