November 21, 2017
You can use WP menu builder to build menus


SEREMBAN 30 Okt. – Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merampas sebanyak 842 produk kesihatan dan kosmetik terlarang bernilai RM1.6 juta untuk tempoh Januari hingga Oktober lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, antara jenis produk kesihatan dan kosmetik yang dirampas itu termasuk produk yang disyaki tidak berdaftar dan produk yang disyaki dicemari racun.

“Antara kategori produk kesihatan ialah pelangsing badan iaitu Figure-Up, Pure Slim 7D dan Surut Ayu yang mengadungi racun terlarang Sibutramine serta penahan sakit iaitu Bella Formula, Majun Dua Istimewa, Ubat-ubat Papan (contoh: Pil Tupai Jantan Asli) yang mengandungi Corticosteroid.

“Manakala, kosmetik pula iaitu Tati Skincare Treatment Cream, Glow Glowing Night Glow dan Glow Glowing Day Pinky Beauty yang mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Mercury,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Farmasi) Abd. Halim Abd. Haziz.

Katanya, sebanyak 55 kertas siasatan telah dibuka pada tahun ini dan daripada jumlah itu, 52 kes didakwa di mana 44 mengaku salah, manakala lapan kes lagi dalam proses pendakwaan.

Katanya, kes-kes tersebut disiasat di bawah Peraturan   30(1) dan 18A(15) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Mengikut statistik pada tahun ini, setakat Oktober lepas kita telah membuat 59 serbuan dengan nilai rampasan RM1.6 juta. Antara premis yang diserbu termasuk kedai runcit dan kedai ubat, farmasi, rumah kediaman, pengamal tradisional, setor dan gudang serta salun kecantikan.

“Bilangan premis yang diperiksa ialah 322 premis tidak berlesen, industri berlesen racun (157), klinik (137) dan farmasi (124). Manakala kutipan denda kesalahan Akta Jualan Dadah 1984 sehingga Oktober lepas berjumlah RM150,550,” katanya.

Dr. Zainudin berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan ke atas individu dan perniagaan yang menjalankan penjualan secara atas talian.

“Pemantauan ini dijalankan bagi memastikan produk kesihatan dan kosmetik terlarang tidak dijual dan diedarkan sewenang-wenangnya.

“Bagi memastikan usaha ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan, pihak kami bekerjasama dengan Cyber Security Malaysia (CSM) dalam aktiviti serbuan dan siasatan bagi kes-kes yang melibatkan peralatan dan peranti digital,” katanya.

Katanya, pihaknya telah menyaring 47 akaun facebook dan hasilnya, kesemua akaun facebook itu ditutup.

“Selain itu, daripada dua operasi terhadap penjual siber (atas talian), hasilnya, kita merampas produk bernilai RM80,000,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan status pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik atau mereka yang ingin membuat aduan, boleh layari laman rasmi Bahagian Regulatarori Farmasi Negara (NPRA) di npra.moh.gov.my, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan di pharmacy.gov.my atau hubungi Cawangan Pernguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri di talian 06-7664800.-BERNAMA



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons