January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 31 Okt. – Kejadian banjir kilat di lebuh raya Persekutuan arah Shah Alam di Bangsar Selatan petang semalam menarik perhatian ramai penduduk dan pekerja di sekitar kawasan Kerinchi dan Pantai Dalam.

Tinjauan Utusan Online hari ini mendapati kelihatan kesan-kesan banjir dan takungan air masih lagi wujud di kawasan berkenaan seperti air bertakung di sebelah lebuh raya serta permukaan jalan yang berpasir membahayakan pemandu terutama penunggang motosikal.

Walau bagaimanapun, dalam tinjauan tersebut juga terdapat kerja-kerja membaiki keadaan cerun dan saluran sedang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

Orang ramai menyifatkan kejadian tersebut sebagai pertama kali berlaku kerana dipercayai ia berpunca daripada limpahan air dari kawasan pembinaan selepas hujan lebat lebih dua jam.

Tambah buruk lagi, sistem saliran sedia ada di bahu lebuh raya berhampiran kawasan tapak pembinaan tidak dapat menampung limpahan air yang banyak menyebabkan beberapa lorong termasuk laluan motosikal tenggelam.

Menurut seorang pemandu teksi yang kerap melalui kawasan tersebut, Mazlan Abd. Rahman, kejadian banjir kilat itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa dari kedua-dua arah.

“Dari stesen aliran transit ringan (LRT) Universiti, saya hendak hantar penumpang menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur melalui lebuh raya Persekutuan sebagai laluan biasa.

“Tetapi, kejadian semalam menyebabkan saya terpaksa menukar laluan dan berhadapan dengan kesesakan luar biasa kerana kederaan dari Pantai Dalam dan Kerinchi tidak mahu terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya itu.

“Kejadian seumpama itu sepanjang pengetahuan saya, pertama kali berlaku. Saya percaya limpahan air datang dari kawasan tapak pembinaan,” katanya kepada Utusan Online.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal, Ramli Hambali memberitahu, banjir yang tular dalam aplikasi Whatsapp itu terjadi selepas longkang terlalu penuh dan tidak dapat menampung limpahan air hujan.

“Punca banjir kilat semalam mungkin disebabkan longkang yang terlalu kecil dan tidak cukup dalam untuk menampung limpahan air dari kawasan tapak pembinaan di belakang papan tanda ‘Bangsar Selatan’.

“Saya pun terkejut dengan kejadian semalam selepas lebih 20 tahun tinggal di Kerinchi, itu kali pertama terjadi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons